Apakah isunya?
Adakah penggunaan partograf semasa bersalin secara spontan dapat meningkatkan hasil kesihatan wanita dan bayi?
Adakah reka bentuk partograf yang berbeza memberi perbezaan pada hasil kesihatan wanita dan bayi?
Mengapakah hal ini penting?
Partograf biasanya berbentuk pra-cetak, yang bertujuan untuk memberikan gambaran keseluruhan tentang kemajuan bersalin dan memberi amaran kepada profesional kesihatan tentang sebarang masalah dengan ibu atau bayi. Adalah tidak jelas apakah partograf harus digunakan dan, jika demikian, reka bentuk partograf mana yang lebih baik untuk wanita dan bayi.
Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami mencari bukti pada Ogos 2017 dan kini memasukkan 11 kajian yang melibatkan 9475 wanita. Tiga kajian melihat pada penggunaan partograf berbanding tanpa partograf, tujuh kajian melihat pada reka bentuk partograf yang berbeza, dan satu kajian melihat pada penggunaan partograf berbanding skala bersalin yang baru.
Partograf berbanding tanpa partograf (3 kajian, 1703 wanita)
Adalah tidak dapat dipastikan sama ada menggunakan partograf mempunyai kesan terhadap bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesar atau bayi yang dilahirkan dengan skor Apgar rendah (skor yang mengukur keadaan fizikal bayi baru lahir, dengan skor rendah yang menunjukkan keadaan buruk) kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Menggunakan partograf boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk tempoh bersalin (bukti berkualiti rendah), atau jumlah wanita yang menerima oksitosin untuk mempercepat proses bersalin mereka (bukti berkualiti sederhana).
Partograf dengan penempatan garis tindakan yang berbeza (4 kajian, 5051 wanita)
Jika dibandingkan dengan garis tindakan empat jam, wanita dalam kumpulan garis tindakan dua jam adalah lebih cenderung mempercepat proses bersalin mereka menggunakan oksitosin. Tidak ada perbezaan yang jelas antara wanita dalam kumpulan garis tindakan dua dan empat jam dalam kumpulan yang menjalani pembedahan caesar, jangka masa tahap pertama bersalin, pengalaman melahirkan anak, atau skor Apgar yang rendah.
Ketika kami membandingkan garis tindakan dua jam dengan garis tindakan tiga jam, kurang wanita yang melaporkan pengalaman negatif melahirkan anak dalam kumpulan garis tindakan dua jam. Ketika kami membandingkan kumpulan garis tindakan tiga dan empat jam, kadar pembedahan caesar adalah lebih tinggi pada kumpulan garis tindakan tiga jam. Tidak ada perbezaan yang jelas antara kumpulan garis tindakan dua, tiga, atau empat jam dalam mana-mana hasil lain yang diukur.
Partograf dengan hanya garis amaran berbanding partograf dengan garis amaran dan tindakan (1 kajian, 694 wanita)
Kadar pembedahan caesar adalah lebih rendah pada kumpulan amaran sahaja. Tidak ada perbezaan yang jelas antara kumpulan untuk penambahan oksitosin, skor Apgar rendah, kelahiran vagina instrumental, dan kematian perinatal.
Partograf dengan fasa pendam berbanding partograf tanpa fasa pendam (1 kajian, 743 wanita)
Apabila kami membandingkan partograf dengan fasa pendam (termasuk tahap awal bersalin) dan satu tanpa fasa pendam, pembedahan caesar dan penambahan oksitosin adalah lebih tinggi pada partograf dengan fasa pendam. Tidak ada perbezaan yang jelas antara kumpulan untuk penambahan oksitosin, dan skor Apgar kurang dari 7 pada 5 minit.
Partograf dengan garis tindakan dua jam berbanding partograf dengan garis distosia berperingkat (1 kajian, 99 wanita)
Ketika kami membandingkan partograf dengan garis tindakan dua jam dan garis distosia berperingkat, kurang wanita yang menerima penambahan oksitosin dalam kumpulan garis distosia. Kami tidak melihat perbezaan yang jelas dalam mana-mana hasil utama lain dalam perbandingan ini.
Partograf berbanding skala bersalin (1 kajian, 122 wanita)
Skala bersalin dibandingkan dengan partograf mengakibatkan kurang wanita yang menerima penambahan oksitosin, tetapi tidak menghasilkan perbezaan yang jelas untuk hasil utama lain.
Apakah maksudnya?
Berdasarkan penemuan ulasan ini, kami tidak pasti tentang kesan penggunaan partograf secara rutin sebagai sebahagian daripada penjagaan standard bersalin, atau reka bentuk partograf yang berbeza. Bukti kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk menghasilkan keberkesanan penggunaan partograf itu sendiri dan reka bentuknya yang optimum.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.