Program intervensi perkembangan awal dibekalkan selepas pesakit dibenarkan keluar dari hospital untuk mencegah masalah motor dan kognitif di kalangan bayi pramatang

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan kajian: Bagi bayi pramatang, adakah program intervensi perkembangan awal yang dibekalkan selepas pesakit dibenarkan keluar hospital dapat meningkatkan perkembangan kognitif dan motor di kalangan kanak-kanak (berumur 0 sehingga < tiga tahun), sekolah (5 sehingga < 18 tahun) dan orang dewasa (≥ 18 tahun) apabila dibandingkan dengan rawatan susulan perubatan standard?

Latar-belakang: Bayi pramatang (bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu) mempunyai risiko untuk mendapat masalah perkembangan kognitif dan motor. Perkembangan kognitif merujuk kepada pemikiran dan kebolehan pembelajaran serta perkembangan motor termasuklah cara pergerakan kanak-kanak seperti duduk, merangkak dan berjalan. Intervensi perkembangan awal bertujuan mengurangkan masalah kognitif dan motor. Namun demikian, manfaat program-program ini masih tidak jelas.

Ciri-ciri kajian: Dua puluh lima buah kajian telah memenuhi kriteria penyertaan (yang merangkumi 3615 peserta yang dipilih secara rawak). Hanya 12 daripada kajian tersebut merangkumi kajian rawak terkawal yang melibatkan peruntukan 'concealment' (penyembunyian) yang sesuai. Kepelbagaian dilihat dengan mengambil kira fokus dan intensiti intervensi, ciri-ciri peserta serta tempoh rawatan susulan.

Penemuan utama: Bukti mencadangkan bahawa intervensi pembangunan awal dapat meningkatkan hasil kognitif kanak-kanak sehingga tahap prasekolah. Bukti juga menunjukkan bahawa intervensi pembangunan awal meningkatkan hasil motor semasa bayi; walaubagaimanapun, kesan ini adalah kecil. Tidak terdapat bukti yang banyak tentang kesan ke atas hasil kognitif jangka panjang atau motor (sehingga umur sekolah). Program-program intervensi perkembangan awal yang dihuraikan di sini perlu bermula dari tempoh 12 bulan pertama kehidupan, memberi tumpuan kepada perhubungan di antara ibu bapa dan bayi dan/atau perkembangan bayi. Walau bagaimanapun program boleh bermula semasa bayi masih berada di dalam hospital dan wajib juga memasukkan satu komponen selepas pesakit dapat keluar dari hospital. Program-program intervensi pembangunan awal yang dimasukkan di dalam kajian ini berbeza mengikut isi kandungan dan kekerapan serta tumpuan pada intervensi.

Rumusan: Kajian semula ini mengandungi 25 kajian yang menyokong program intervensi awal perkembangan yang diberi kepada bayi pramatang selepas keluar hospital dengan matlamat untuk meningkatkan perkembangan kognitif dalam tempoh jangka pendek dan jangka sederhana (sehingga umur prasekolah). Kepelbagaian program-program intervensi awal perkembangan menghadkan rumusan-rumusan yang dapat dibuat mengenai keberkesanannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College) Disuntng oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.