Soalan ulasan
Adakah pemberian probiotik kepada bayi yang sangat pramatang atau dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir mencegah enterokolitis nekrotik?
Latar belakang
Bayi yang sangat pramatang (mereka yang dilahirkan lapan minggu lebih awal) dan bayi dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir (mereka yang beratnya kurang daripada 1.5 kg semasa lahir) berisiko mendapat enterokolitis nekrotik, keadaan teruk di mana tisu dalam lapisan usus bayi menjadi radang dan mula mati. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian, jangkitan serius, ketidakupayaan jangka panjang, dan masalah perkembangan.
Apa yang kami ingin tahu?
Salah satu cara untuk membantu mencegah enterokolitis nekrotik adalah dengan menambahkan probiotik (makanan tambahan yang mengandungi bakteria atau ragi yang mungkin bermanfaat) ke dalam susu. Kami ingin mengetahui sama ada suplemen probiotik mungkin memberi manfaat kepada bayi yang sangat pramatang dan dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir. Secara khusus, kami ingin mengetahui sama ada suplemen probiotik lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan untuk penambahbaikan:
• enterokolitis nekrotik;
• kematian akibat sebarang sebab;
• jangkitan serius;
• tempoh kemasukan ke hospital sejak lahir; dan
• kecacatan perkembangan saraf.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari beberapa pangkalan data penting untuk mengenal pasti kajian rawak terkawal (kajian yang menugaskan peserta kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang menyiasat penggunaan probiotik untuk mencegah enterokolitis nekrotik dalam bayi yang sangat pramatang dan dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati 60 kajian dengan 11,156 bayi. Kebanyakan kajian adalah kecil dan mempunyai kelemahan reka bentuk yang mungkin berat sebelah pada penemuan mereka.
Keputusan utama
Memberi probiotik pada bayi yang sangat pramatang dan dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir, berbanding dengan memberi mereka plasebo atau tiada rawatan, boleh mengurangkan risiko enterokolitis nekrotik, dan mungkin mengurangkan risiko kematian mereka. Probiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada jangkitan yang serius dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada ketidakupayaan atau hasil perkembangan. Probiotik berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada enterokolitis nekrotik, kematian, atau jangkitan serius pada bayi yang sangat pramatang (mereka yang lahir 12 minggu lebih awal) atau bayi dengan berat lahir yang sangat rendah (mereka yang beratnya kurang daripada 1.0 kg semasa lahir).
Apakah batasan bukti tersebut?
Kaedah yang digunakan dalam kajian yang disertakan mungkin telah membesar-besarkan faedah pemberian probiotik kepada bayi yang sangat pramatang dan dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir. Tambahan pula, kesannya mungkin berat sebelah oleh kajian kecil dengan kaedah yang tidak boleh dipercayai.
Oleh kerana kami mempunyai sedikit keyakinan atau keyakinan sederhana terhadap bukti untuk kesan suplemen probiotik dalam bayi yang sangat pramatang atau dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir, terdapat keperluan untuk kajian tambahan yang besar, dan berkualiti tinggi untuk memberikan bukti dengan kesahihan dan kebolehgunaan yang mencukupi untuk memaklumkan dasar dan amalan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2022.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my