Soalan ulasan
Kami bertujuan untuk mencari cara terbaik merawat semula pesakit dimana terapi kanal akar telah gagal. Kami ingin mengetahui sama ada rawatan semula surgikal atau bukan surgikal adalah lebih baik, dan jika menggunakan bahan, peranti atau prosedur spesifik dalam surgeri dapat meningkatkan penyembuhan lesi atau mengurangkan ketakselesaan selepas surgeri. Ulasan ini mengemaskini satu terbitan dalam tahun 2008.
Latarbelakang
Dalam terapi kanal akar, pulpa gigi yang telah dijangkiti dikeluarkan dan kaviti akar didisinfeksi dan dipenuhi dengan bahan pengap. Namun, jika mikroorganisme yang menyebabkan jangkitan tidak dibuang dengan sempurna, ia boleh menyebabkan jangkitan pada hujung akar yang dipanggil luka periapikal.Rawatan untuk kes begini memerlukan intervensi kedua, yang boleh dibuat dengan cara yang sama dengan rawatan pertama, dari korona ke dalam akar untuk membuang bahan pengap sedia ada, membersih dan disinfeksi sebaik mungkin sebelum memengap semula. Jika prosedur ini gagal, atau sukar dijalankan, intervensi surgikal boleh diguna.
Ciri-ciri kajian
Kami membuat carian meluas kesusasteraan perubatan dan pergigian sehingga 10 Februari 2016. Kami mengenalpasti 20 kajian yang membahagikan peserta secara rawak yang menerima pelbagai bentuk rawatan semula lesi periapikal. Kajian-kajian tersebut menilai sembilan perbandingan yang berlainan: rawatan surgikal berbanding bukan surgikal (dua kajian, satu kajian memantau peserta sehingga 10 tahun); dua melibatkan teknik radiograf diagnostik (satu kajian); kejadian jangkitan pos operatif dengan atau tanpa antibiotik (satu kajian); penggunaan pelbagai peranti untuk menambahbaik pemandangan doktor bedah pada langkah-langkah kritikal semasa prosedur surgikal (satu kajian); gambaran estetik gusi bersebelahan gigi yang dirawat dan sakit selepas pembedahan apabila dua jenis insisi digunakan (dua kajian); penggunaan peranti ultrasonik invasif minimum atau bur berpusing tradisional untuk mengendali hujung akar (satu kajian); penggunaan pelbagai bahan pengap hujung akar (tujuh kajian); memengap luka periapikal dengan bahan graf (empat kajian); dan pendedah kawasan surgikal kepada laser tahap tenaga rendah untuk mengurangkan sakit (satu kajian).
Keputusan utama
Tiada bukti yang menunjukkan pendekatan surgikal menghasilkan keputusan lebih baik berbanding rawatan semula bukan surgikal sehingga satu tahun (atau empat atau 10 tahun) selepas intervensi. Walaubagaimanapun, pesakit yang dirawat secara surgikal melaporkan lebih kesakitan dan kebengkakan dalam tempoh satu minggu selepas rawatan.
Pelbagai teknik surgikal dinilai. Penyembuhan adalah lebih baik dalam susulan setahun dengan penggunaan peranti ultrasonik berbanding bur tradisional dalam penyediaan hujung akar. Terdapat sedikit bukti penyembuhan yang lebih baik pada susulan setahun apabila hujung akar dipengap dengan agregat trioksida berbanding rawatan dengan pelicinan bahan pengap getah perca ortograd.
Penggunaan graf yang terbentuk dari gel yang diperkaya dengan platelet pesakit dan disapu pada bahagian kerosakan semasa prosedur surgikal mengurang sakit pos-operatif dengan ketara. Pendedahan kepada laser tenaga tahap rendah tidak mengurangkan sakit pada tapak surgikal.
Pemotongan gingiva yang kecil dapat memelihara gusi di antara dua gigi bersebelahan, meningkatkan paras rupa estetik dan menyebabkan kurang sakit selepas pembedahan.
Tiada bukti bahawa penggunaan antibiotik mengurangkan kejadian jangkitan pos-operatif (walaupun, apabila prosedur dilakukan dengan baik, jangkitan jarang berlaku).
Pelbagai cara menambahbaik pandangan doktor bedah tidak menunjukkan keputusan yang berbeza sehingga setahun selepas rawatan semula, dan keputusan rawatan semula tidak berkait dengan teknik radiograf yang diguna untuk membuat diagnosis.
Kualiti bukti
Kami mendapati kualiti bukti adalah rendah, oleh itu kita tidak dapat bergantung kepada keputusan-keputusan tersebut. Hanya satu kajian yang berisiko bias rendah, majoriti kajian adalah berisiko bias tinggi.
Rumusan penulis
Adalah sukar untuk membuat rumusan kerana bukti sedia ada berkualiti rendah. Lebih banyak kajian rawak terkawal yang bermutu diperlukan untuk menyiasat kesan pendekatan surgikal dan bukan surgikal, dan apabila surgeri diguna, bahan, peranti atau protokol operatif yang manakah lebih baik untuk meningkatkan penyembuhan lesi dan mengurangkan ketakselesaan pesakit.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Mrelaka-Manipal). Disunting oleh Ernie Yap (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my