Soalan ulasan
Soalan utama ulasan ini: apakah kaedah terbaik untuk menyediakan permukaan enamel gigi bagi meningkatkan perlekatan aplians ortodontik tetap?
Latar belakang
Ramai orang perlu memakai peranti ortodontik yang tetap, seperti pendakap gigi, untuk membetulkan masalah dengan gigi dan rahang (contohnya, kesesakan atau gigi hadapan yang melekat (protrude) atau pergi terlalu jauh ke belakang (dipintal). Bagaimana pendakap ini dipasang adalah penting bagi mereka. Untuk melekatkan peranti seperti pendakap kepada gigi, permukaan gigi yang sesuai perlu disediakan agar ia dapat mengekalkan agen pengikat yang diguna untuk membolehkan peranti melekat dengan kukuh. Untuk 50 tahun yang lampau, cara lazim adalah memunarkan (mengkasarkan) permukaan gigi dengan asid, biasanya asid fosforik, adapun asid maleik atau asid poliakrilik kadangkala digunakan. Kemungkinan kerosakan akibat punaran termasuklah kehilangan permukaan enamel yang kekal (permukaan keras) dari permukaan gigi, yang cenderung untuk menghilangkan kalsium atau melemahkannya semasa dan selepas rawatan. Terkini, untuk mengurangkan tempoh dan kompleksiti proses, teknik penggunaan primer terpunar sendiri (SEPs) telah dibangunkan sebagai alternatif kepada punaran atau asid konvesional. Namun,sama ada SEPs atau bahan punaran konvensional adalah lebih baik, SEP terbaik, asid, kepekatan dan tempoh punaran perlu ditentukan.
Ciri-ciri kajian
Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan kajian sedia ada yang memuatkan bukti terkini sehingga 8 Mac 2013. Sorotan in termasuk 13 kajian yang melibatkan 417 kanak-kanak dan orang dewasa secara rawak yang menerima pelbagai persediaan gigi sebelum pendakap ortodontik dilekatkan kepada gigi. Sebelas daripada kajian tersebut membandingkan SEP dengan punaran konvesional dan dua kajian membandingkan dua jenis SEP.
Keputusan utama
Hanya lima kajian menyediakan bukti yang boleh digunakan untuk sorotan ini dan keputusan yang digabung tidak membolehkan rumusan dibuat sama ada terdapat perbezaan kegagalan ikatan (apabila pendakap tertanggal dari gigi) di antara SEP dan punaran konvensional. Tidak terdapat juga bukti yang boleh digunakan untuk mencadangkan sama ada SEP atau punaran konvensional menyebabkan kurang kerosakan di sekeliling kawasan terpunar, ataupun dikaitkan dengan kurang kos atau lebih kepuasan peserta. Tidak terdapat bukti yang boleh digunakan untuk membuat rumusan SEP, asid, kepekatan dan tempoh punaran mana lebih baik.
Kualiti bukti kajian
Bukti yang dikemukakan adalah berkualiti rendah kerana terdapat isu pada kaedah kajian yang dijalankan.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my