Soalan ulasan
Apakah kesan penambahan zink berbanding plasebo atau tanpa rawatan untuk pencegahan penyakit diabetes jenis 2 dalam kalangan dewasa dengan kerintangan insulin?
Latar belakang
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa zink menambahbaik paras glukosa (kawalan glisemik) dalam penghidap diabetes. Akibat diabetes, komplikasi jangka panjang boleh terjadi seperti penyakit buah pinggang, saraf dan mata. Risiko komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok juga meningkat. Diabetes jenis 1 ialah satu bentuk diabetes di mana badan tidak boleh menghasilkan insulin. Risiko mendapat diabetes jenis 2 meningkat dengan usia, obesiti dan kekurangan aktiviti fizikal dan dicirikan oleh peningkatan ketidakmampuan badan untuk memanfaatkan insulin (kerintangan insulin). Mineral zink memain peranan penting dalam tindakan insulin dan secara teori penambahan zink digunakan oleh orang dengan kerintangan insulin dapat mencegah permulaan diabetes.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan tiga kajian rawak terkawal dengan sejumlah 128 peserta dalam ulasan ini. Tempoh penambahan zink adalah di antara empat dan 12 minggu.
Keputusan utama
Tiada kajian melaporkan hasil utama pesakit yang penting (permulaan baru diabetes jenis 2, kesan sampingan, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, kematian semua punca, komplikasi diabetes, kesan sosioekonomi). Kesan penambahan zink adalah tidak pasti terhadap tahap kerintangan dan lipid dalam darah (terutamanya kolesterol dan trigliserida).
Kualiti bukti
Kualiti keseluruhan kajian tyang dimasukkan adalah tidak jelas kerana penulis kajian tidak memberi maklumat penting untuk kami menilai cara kajian dilaksanakan (risiko yang tidak jelas dalam kebanyakan kes). Tambahan pula, bilangan kajian dan peserta adalah rendah dan para pengarang kajian tidak menyiasat hasil penting seperti permulaan baru diabetes jenis 2 atau kesan sampingan penambahan zink.
Status bukti
Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2015.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.