Intervensi bukan klinikal bagi mengurangkan pembedahan caesarean tanpa indikasi

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada intenvensi bukan klinikal yang bertujuan mengurangkan pembedahan caeserean tanpa indikasi, seperti memberi pendidikan kepada anggota kesihatan dan ibu-ibu, sama ada selamat dan berkesan. Ulasan ini pertama kali diterbitkan pada 2011. Ulasan terkini ini memaklumkan garis panduan WHO yang terbaru, dan skop bagi garis panduan ini telah dimaklumkan oleh WHO’s Guideline Development Group.

Mesej utama

Kami mengkaji pelbagai jenis intervensi bukan klinikal yang diguna untuk mengurangkan pembedahan caesarean tanpa indikasi yang nyata, terutamanya di negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan bukti berkualiti tinggi, beberapa intervensi telah menunjukkan penurunan kadar pembedahan caesarean tanpa kesan sampingan kepada ibu dan bayi. Intervensi ini kebanyakannya tertumpu kepada golongan profesional kesihatan (jururawat, para bidan, doktor perubatan) dan melibatkan penggunaan: kombinasi garis panduan klinikal dan mandatori pandangan kedua bagi indikasi pembedahan caesarean; kombinasi garis panduan klinikal beserta audit dan maklumbalas amalan pembedahan caesarean; dan pendapat pakar obstretik/ginekologi untuk mendidik golongan profesional kesihatan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pembedahan Caesarean adalah pembedahan yang dijalankan untuk mencegah dan mengurangkan komplikasi bersalin. Walaupun ia merupakan prosedur yang boleh menyelamatkan nyawa ibu dan bayi, pembedahan caeserean bukanlah tanpa risiko dan sepatutnya hanya dilakukan apabila perlu. Antara komplikasinya, pembedahan Caesarean menambah kebarangkalian berlakunya pendarahan, jangkitan kuman bagi ibu dan masalah pernafasan bagi bayi. Terdapat peningkatan bilangan pembedahan caesarean di seluruh dunia. Walaupun peningkatan ini mungkin atas sebab-sebab perubatan, tetapi terdapat faktor lain yang mungkin bertanggungjawab, seperti keselesaan pakar perubatan dan ketakutan yang dialami ibu mengandung.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami memasukkan 29 kajian dalam ulasan ini. Kebanyakan kajian ini (20 kajian) dijalankan di negara berpendapatan tinggi; tiada dari negara berpendapatan rendah.

Kami menilai kualiti bukti kajian berdasarkan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya.

Secara keseluruhannya, kami mendapati lapan daripada 29 intervensi yang dimasukkan dalam ulasan ini mempunyai kesan baik kepada sekurang-kurangnya satu daripada hasil utama dengan kualiti bukti yang rendah, sederhana atau tinggi, dan tiada bukti berkualiti sederhana atau tinggi untuk kesan sampingan.

Intervensi bagi wanita dan keluarga: mengadakan bengkel latihan bersalin untuk ibu-ibu dan pasangan; program latihan relaksasi yang dikendalikan oleh jururawat; program preventif psikososial untuk pasangan; dan psikopendidikan. Intervensi-intervensi ini dibandingkan dengan amalan rutin Kualiti bukti daripada kajian-kajian ini adalah rendah.

Intervensi bagi golongan profesional kesihatan: penggunaan kombinasi garis panduan klinikal dan mandatori pandangan kedua bagi indikasi pembedahan caesarean; kombinasi garis panduan klinikal berserta audit dan maklumbalas amalan pembedahan caesarean; dan mendapatkan pendapat pakar obstretik/ginekologi untuk mendidik golongan profesional kesihatan. Intervensi-intervensi ini dibandingkan dengan amalan rutin Kualiti bukti adalah tinggi.

Intervensi bagi organisasi dan fasiliti kesihatan: modal penjagaan kerjasama perbidanan-persalinan (di mana pakar obstetrik memberikan perkhidmatan dalaman bersalin dan menyambut kelahiran, 24 jam sehari, tanpa tugasan klinikal yang lain) dibandingkan dengan model penjagaan persendirian. Kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kami mengkaji beberapa intervensi lain dan mereka samada hanya memberi kesan kecil atau tidak memberi sebarang kesan terhadap kadar pembedahan caesarean, atau kesan yang tidak boleh dipastikan.

Data sedia ada bagi potensi kesan bahaya intervensi yang dikaji di dalam ulasan ini adalah terhad.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubung zuromli@yahoo.com

Tools
Information