Penambahan beta2-agonis bertindak lama kepada steroid sedutan berbanding dos tinggi steroid sedutan sebagai rawatan penyelenggaraan untuk asma kronik

Apabila asma tidak terkawal secukupnya dengan kortikosteroid sedutan, sama ada menambah ubat seperti beta2-agonis yang bertindak lama (LABAs) atau meningkatkan dos kortikosteroid sedutan adalah disyorkan. Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan manfaat dan keselamatan menambah beta2-agonis bertindak lama atau meningkatkan dos kortikosteroid sedutan dalam kalangan pesakit asma yang tidak terkawal secukupnya ke atas dos kortikosteroid sedutan semasa. Ulasan ini menganalisis data daripada ujian rawak terkawal yang dikenal pasti yang membandingkan penambahan beta2-agonis bertindak lama untuk kortikosteroid sedutan dengan peningkatan dos sedutan kortikosteroid lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan asma.

Berdasarkan kajian yang telah dikenal pasti:

1. Terdapat sedikit kelebihan dalam menambahkan beta2-agonis bertindak lama bagi kortikosteroid sedutan berbanding meningkatkan dos kortikosteroid sedutan, untuk mencegah eksaserbasi tetapi ramai pesakit (lebih daripada 70) perlu dirawat untuk mencegah satu eksaserbasi. Keputusan adalah terpakai terutama bagi orang dewasa, kerana tiada perbezaan kumpulan yang diperhatikan pada kanak-kanak. Pengurangan simptom dan penggunaan beta2-agonis penyelamat serta penambahbaikan dalam ujian fungsi paru-paru juga sedikit memihak kepada gabungan beta2-agonis bertindak lama dengan kortikosteroid sedutan berbanding dos kortikosteroid yang lebih tinggi.

2. Selain dari peningkatan kadar tremor dan kurang "oral thrush", tiada perbezaan jelas dalam risiko kesan sampingan atau kadar menarik diri daripada rawatan kerana kesan sampingan di antara opsyen rawatan, tetapi kesan sampingan jangka panjang kortikosteroid sedutan jarang dipantau. Walau bagaimanapun, trend ke arah peningkatan risiko eksaserbasi sederhana dan teruk dalam kalangan kanak-kanak yang menerima terapi kombinasi menimbulkan kebimbangan mengenai terapi ini, terutamanya memandangkan peningkatan sederhana yang ditunjukkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information