Kesan ubat untuk merawat cacing usus dari tanah yang tercemar dalam kalangan wanita hamil

Apakah isunya?

Jangkitan cacing parasit dari tanah yang tercemar termasuk cacing kerawit, cacing bulat dan cacing cambuk. Cacing usus ini menghisap darah dan boleh menyumbang kepada anemia kekurangan ferum pada wanita dalam usia reproduktif. Cacing parasit juga melepaskan bahan yang menghentikan darah dari membeku, menyebabkan pendarahan lebih lanjut. Wanita yang terkesan sering mengalami anoreksia, muntah dan cirit-birit, yang mengurangkan bekalan nutrien penting untuk menghasilkan sel darah. Natijahnya, kesihatan wanita hamil dan bayi mereka yang belum lahir boleh terjejas.

Anti-helmint adalah ubat-ubatan yang memaksa cacing parasit keluar dari badan, sama ada merencat atau membunuhnya, tanpa menyebabkan kerosakan pada perumah. Anti-helmint sangat berkesan terhadap cacing ini, tetapi kesan yang bermanfaat dan keselamatannya apabila diberikan semasa kehamilan adalah terhad.

Mengapakah hal ini penting?

Wanita di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) berkemungkinan besar mempunyai cacing yang boleh menyebabkan anemia, kerana mereka mungkin hamil atau menyusui sehingga separuh daripada masa reproduktif mereka. Wanita yang mengalami anemia semasa mengandung lebih cenderung mengalami kesihatan yang buruk, melahirkan prematang, dan mempunyai bayi berat lahir rendah (LBW) dengan zat besi rendah. Kekurangan zat besi dapat mengurangkan kemampuan mental dan perkembangan bayi serta pertumbuhan fizikal mereka.

Apakah bukti yang pengulas dapati?

Pengulas mencari bukti pada Mac 2021 dan mengenal pasti enam kajian terkawal secara rawak (dalam 24 laporan) yang merangkumi 7873 wanita hamil. Semua kajian yang disertakan dilakukan di klinik antenatal di hospital di LMIC (Uganda, Nigeria, Peru, India, Sierra Leone dan Tanzania). Kecuali satu kajian yang disertaka, semuanya memberikan suplemen zat besi kepada wanita yang menyertai kajian bersama ubat anti-helmint.

Bukti dari lima kajian (5745 wanita) menunjukkan bahawa pembasmian cacing menggunakan satu dos anti-helmint pada trimester kedua kehamilan dapat mengurangkan anemia ibu (bukti kepastian rendah). Pengulas tidak pasti mengenai kesan pada kelahiran pramatang (1042 wanita dalam 1 kajian) atau kematian perinatal (3356 wanita dalam 3 kajian), dengan bukti kepastian rendah untuk kedua-dua hasil tersebut. Anti-helmint mungkin memberi sedikit atau tidak banyak perbezaan pada bayi LBW (3301 wanita dalam 4 kajian) atau berat lahir (3301 wanita dalam 4 kajian), dengan bukti kepastian sederhana untuk kedua-dua hasil. Bilangan wanita dengan cacing berkurangan (2488 wanita dalam 2 kajian; bukti kepastian rendah).

Apakah maksudnya?

Ubat anti-helmint yang diberikan pada trimester kedua kehamilan dapat mengurangkan anemia ibu dan jumlah wanita yang mempunyai cacing, tetapi tanpa kesan terhadap ibu atau hasil kehamilan yang lain. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan dalam kalangan kumpulan wanita tertentu dan mengenai keberkesanan intervensi tambahan dengan anti-helmint, termasuk pendidikan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). DIsunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information