Mengapakah persoalan ini penting?
Glaukoma primer kronik sudut tertutup (PACG) ialah satu jenis glaukoma yang merupakan penyebab utama buta di seluruh dunia. Ia berlaku apabila terdapat masalah dengan pengaliran cecair dari mata kerana iris (bahagian mata yang berwarna) telah menyekat saliran. Sekatan boleh berlaku secara tiba-tiba (PACG akut) atau beransur (PACG kronik) menyebabkan pengumpulan cecair dan meningkatkan tekanan di dalam mata yang merosakkan saraf optik dan menyebabkan kehilangan penglihatan. Pilihan rawatan merangkumi titisan mata, rawatan laser, dan pembedahan. ‘Pengekstrakan kanta’ merupakan satu jenis pembedahan di mana kanta semula jadi diganti dengan kanta buatan. Ini juga mempunyai kesan membuka saliran yang mungkin dapat membantu merawat PACG. Kami mengulas bukti penyelidikan untuk mengetahui bagaimana pengekstrakan lensa berbanding rawatan lain untuk PACG kronik.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang membandingkan pengekstrakan kanta dengan rawatan lain untuk PACG kronik, membandingkan hasilnya dan merumuskan bukti dari semua kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut.
Apa yang kami temui?
Kami menemui lapan kajian yang terdiri daripada 513 mata dengan kronik PACG yang memenuhi kriteria kemasukan kami. Kajian mengikuti peserta selama enam hingga 69 bulan, dan membandingkan pengekstrakan kanta dengan:
- terapi laser;
- pengekstrakan kanta ditambah suntikan cecair tebal untuk memecahkan lekatan iris dengan tujuan mendorong pengaliran keluar cecair (viscogonioplasty, VCG);
- pengekstrakan kanta ditambah dengan pemecahan lekatan iris secara mekanikal, dipanggil sebagai goniosynechialysis (GSL);
- trabekulektomi (mencipta flap untuk membantu penyaliran cecair); dan
- pengekstrakan kanta ditambah trabekulektomi.
Ini adalah penemuan utama ulasan kami, yang bertumpu pada hasil satu tahun selepas rawatan (kecuali dinyatakan sebaliknya).
1. Pengekstrakan kanta dibandingkan dengan terapi laser (1 kajian)
Apabila dibandingkan dengan terapi laser, bukti menunjukkan bahawa pengekstrakan kanta berkemungkinan:
- mengehadkan kehilangan bidang penglihatan (kawasan yang boleh dilihat apabila mata memandang terus ke depan);
- mengurangkan bilangan ubat penurun tekanan yang diperlukan;
- membuka sudut pengaliran dengan lebih luas; dan
- membuat sedikit atau tiada perubahan pada kualiti hidup, kejelasan penglihatan, atau tekanan mata.
Satu orang dirawat dengan pengekstrakan kanta, dan tiga orang dirawat dengan terapi laser, mengalami kehilangan kekal 10 atau lebih huruf penglihatan EDTRS dalam tempoh tiga tahun selepas rawatan.
2. Pengekstrakan kanta berbanding dengan pengekstrakan lensa ditambah VGP (1 kajian)
Apabila dibandingkan dengan pengekstrakan kanta ditambah VGP, bukti menunjukkan bahawa pengekstrakan kanta mungkin:
- mengurangkan bilangan ubat penurun tekanan yang diperlukan;
- membuka sudut pengaliran dengan lebih luas; dan
- membuat sedikit atau tiada perubahan kepada kejelasan penglihatan.
Tidak ada bukti yang pasti sama ada kedua-dua rawatan tersebut mempunyai kesan yang berbeza terhadap tekanan mata. Kajian ini tidak menyiasat kesan terhadap kehilangan bidang penglihatan dan kualiti kehidupan.
Keradangan mata berlaku kepada dua orang yang dirawat dengan pengekstrakan kanta dan empat orang yang dirawat dengan pengekstrakan kanta ditambah VGP. Tiga orang dirawat dengan pengekstrakan kanta ditambah VGP mengalami pendarahan di depan mata.
3. Pengekstrakan kanta dibandingkan dengan pengambilan lensa ditambah GSL (2 kajian)
Apabila dibandingkan dengan pengekstrakan kanta ditambah GSL, bukti menunjukkan bahawa pengekstrakan kanta:
- kemungkinan tidak mengurangkan bilangan ubat penurun tekanan yang diperlukan; dan
- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap tekanan mata.
Kajian ini tidak menyiasat kesan terhadap kehilangan bidang penglihatan, saliran mata, kejelasan penglihatan, dan kualiti hidup.
Pendarahan di depan mata berlaku dalam tiga mata yang dirawat dengan pengekstrakan kanta ditambah GSL.
4. Pengekstrakan kanta dibandingkan dengan pengekstrakan kanta ditambah trabekulektomi (3 kajian)
Apabila dibandingkan dengan pengekstrakan kanta ditambah trabekulektomi, bukti daripada satu kajian menunjukkan bahawa pengekstrakan kanta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada:
- tekanan mata;
- bilangan ubat penurun tekanan yang diperlukan; dan
- kejelasan penglihatan.
Terdapat bukti yang tidak dipastikan sama ada satu rawatan membawa kepada kesan yang lebih tidak diingini berbanding yang lain. Kajian ini tidak menyiasat kesan terhadap kehilangan bidang penglihatan, saliran mata, dan kualiti hidup.
Apakah maksud ini?
Bukti menunjukkan bahawa:
- pengekstrakan kanta berkemungkinan adalah rawatan yang lebih baik berbanding terapi laser untuk PACG kronik;
- menggabungkan pengekstrakan kanta dengan VGP atau GSL mungkin tidak berfungsi lebih baik berbanding pengekstrakan kanta sahaja; dan
- terdapat bukti yang tidak dipastikan sama ada menggabungkan pengekstrakan kanta dengan trabekulektomi membawa apa-apa perbezaan.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga 13 Disember 2019.
Diterjemah oleh Fida Muhammad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my