Mesej utama
- Bagi orang yang mengalami demensia ringan hingga sederhana, rangsangan kognitif mungkin membawa kepada faedah kecil dalam kognisi (keupayaan umum untuk berfikir dan mengingat).
- Kami menemui pelbagai manfaat lain yang berkemungkinan, termasuk peningkatan kesejahteraan, mood dan kebolehan seharian, tetapi manfaat secara amnya adalah sedikit dan, terutamanya untuk kognisi dan kesejahteraan, sangat berbeza antara kajian.
- Kebanyakan kajian menilai rangsangan kognitif kumpulan. Kajian masa depan harus cuba menjelaskan kesan rangsangan kognitif individu, menilai kekerapan sesi kumpulan harus dilakukan untuk memberi kesan terbaik, dan mengenal pasti siapa yang paling mendapat manfaat daripada rangsangan kognitif.
Apakah demensia?
Demensia adalah istilah umum untuk pelbagai gangguan otak. Penyakit Alzheimer adalah penyebab demensia yang paling lazim. Orang dari semua peringkat umur boleh mengalami demensia, tetapi selalunya ia berlaku pada usia lanjut. Penghidap demensia biasanya mengalami penurunan dalam kebolehan kognitif mereka, yang boleh menjejaskan daya ingatan, pemikiran, bahasa dan kemahiran praktikal. Masalah ini biasanya bertambah buruk dari semasa ke semasa dan boleh membawa kepada pengasingan, kekecewaan dan kesusahan bagi penghidap demensia dan mereka yang memberikan penjagaan dan sokongan.
Rangsangan kognitif
Rangsangan kognitif (CS) ialah satu bentuk 'latihan mental' yang dibangunkan khusus untuk membantu penghidap demensia. Ia melibatkan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk merangsang pemikiran dan ingatan secara amnya, termasuk perbincangan tentang peristiwa dan topik yang diminati dahulu dan sekarang, permainan perkataan, teka-teki, muzik dan aktiviti praktikal yang kreatif. Biasanya disampaikan oleh kakitangan terlatih yang bekerja dengan sekumpulan kecil penghidap demensia selama kira-kira 45 minit dua kali seminggu, ia juga boleh disediakan secara satu persatu. Beberapa program telah melatih penjaga keluarga untuk memberikan CS kepada saudara mereka.
Apa yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada CS lebih baik untuk mereka yang menghidap demensia daripada penjagaan biasa atau aktiviti sosial tidak berstruktur untuk menambah baik:
- kebolehan kognitif (termasuk ingatan, pemikiran dan kemahiran bahasa)
- kesejahteraan dan mood
- kebolehan sehari-hari
- kesusahan dan kekecewaan bagi orang yang mengalami demensia dan/atau penjaga
Kami juga ingin mengetahui sama ada penjaga keluarga mengalami sebarang perubahan yang berkaitan dengan orang yang mengalami demensia yang menerima CS atau jika terdapat sebarang kesan yang tidak diingini.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat CS kumpulan atau individu berbanding dengan penjagaan biasa atau aktiviti sosial tidak berstruktur pada orang yang menghidap demensia.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati 37 kajian melibatkan 2766 peserta dengan demensia ringan atau sederhana dan purata umur 79 tahun. Kajian terbesar melibatkan 356 peserta, yang terkecil 13. Kajian telah dijalankan di 17 negara dari lima benua, dengan kebanyakannya di Eropah. Kurang daripada separuh (16) melibatkan peserta yang tinggal di rumah jagaan atau hospital. Tempoh kajian berbeza dari empat minggu hingga dua tahun. Sesi setiap minggu berbeza dari satu hingga enam. Bilangan keseluruhan sesi berbeza dari lapan hingga 520. Kebanyakan kajian berlangsung selama sekitar 10 minggu, dengan sekitar 20 sesi. Kebanyakan kajian menawarkan CS dalam kumpulan, dengan hanya lapan memeriksa CS individu.
Keputusan utama
Tiada kesan sampingan dilaporkan. Kami mendapati bahawa CS mungkin menghasilkan manfaat kecil kepada kognisi pada sesi akhir kursus berbanding dengan aktiviti penjagaan biasa/tidak berstruktur. Faedah ini bersamaan secara kasar dengan kelewatan enam bulan dalam penurunan kognitif yang biasanya dijangkakan dalam demensia ringan hingga sederhana. Kami menemui bukti awal yang menunjukkan bahawa kognisi mendapat lebih banyak manfaat apabila sesi kumpulan berlaku dua kali seminggu atau lebih (bukan sekali seminggu) dan faedah itu lebih besar dalam kajian di mana demensia peserta pada awalnya adalah ringan.
Kami juga mendapati bahawa peserta bertambah baik pada ukuran komunikasi dan interaksi sosial dan menunjukkan sedikit faedah dalam aktiviti seharian dan dalam penilaian mereka sendiri terhadap mood mereka. Mungkin juga terdapat sedikit peningkatan dalam kesejahteraan peserta dan dalam pengalaman yang menjengkelkan dan menyedihkan bagi penghidap demensia dan penjaga. Kami mendapati CS mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada mood atau kebimbangan penjaga.
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti hanya sederhana kerana kebimbangan tentang perbezaan keputusan antara kajian. Kami tidak dapat memastikan sebab sebenar perbezaan ini, tetapi kami mendapati bahawa kajian berbeza dalam:
• cara CS disampaikan (secara individu, dalam kumpulan, menggunakan aplikasi) dan program aktiviti yang dimasukkan
• siapa yang menyampaikan program (profesional terlatih, pekerja penjagaan, penjaga keluarga)
• kekerapan sesi (1 setiap minggu hingga 5 setiap minggu)
• tempoh program (dari 4 minggu hingga 1 atau 2 tahun)
• jenis demensia yang mana peserta telah didiagnosis dan tahap keterukan demensia
• sama ada peserta tinggal di rumah jagaan dan hospital atau di rumah mereka sendiri
Kami tidak dapat meneliti seberapa banyak sumber potensi perbezaan ini seperti yang diingini kerana bilangan kajian yang agak sedikit untuk mencerminkan setiap aspek.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu dari 2012, dengan bukti yang terkini hingga Mac 2022.
Diterjemah oleh Wan Anisa Azman (KP Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my