Apakah kesan kortikosteroid untuk mencegah neuralgia selepas herpes?

Mesej utama

• Kami tidak tahu sama ada kortikosteroid, yang diberikan melalui mulut semasa fasa akut jangkitan herpes zoster (kayap) mempunyai kesan pada pencegahan neuralgia selepas herpes.
• Kortikosteroid yang diberikan melalui mulut atau suntikan ke dalam tisu otot boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kejadian buruk pada orang dengan herpes zoster akut.

Apakah neuralgia selepas herpes?

Neuralgia selepas herpes (PHN) adalah keadaan menyakitkan yang boleh berlaku selepas serangan kayap di kawasan di mana ruam berlaku. Neuralgia selepas herpes mungkin berterusan sehingga orang itu mati dan mempunyai implikasi besar terhadap kualiti hidup serta penggunaan sumber penjagaan kesihatan. Ramai orang dengan neuralgia selepas herpes mendapati bahawa rawatan mempunyai sedikit atau tiada kesan langsung. Oleh itu, perhatian telah beralih kepada menghentikan perkembangan neuralgia selepas herpes. Sesetengah penyelidik mencadangkan bahawa jika seseorang mengalami PHN, berkemungkinan bahawa mereka mempunyai lebih banyak virus varicella-zoster dalam aliran darah mereka daripada jumlah rendah yang biasanya ditemui apabila virus tidak aktif; ini membawa kepada keradangan yang berterusan. Kortikosteroid mempunyai tindakan anti-radang yang kuat, yang mana mungkin meminimumkan kerosakan saraf, dan dengan itu melegakan sakit herpes zoster dan mencegah neuralgia selepas herpes.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin tahu sama ada kortikosteroid yang diberikan secara akut (dalam tempoh satu minggu dari permulaan ruam) semasa jangkitan herpes zoster berkesan dalam mencegah neuralgia selepas herpes. Kami memasukkan kajian yang membandingkan kortikosteroid tanpa rawatan atau plasebo, tetapi tidak dengan rawatan lain. Kami juga memasukkan kajian yang membandingkan kortikosteroid serta rawatan rutin dengan plasebo serta rawatan rutin.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian rawak terkawal yang berkaitan yang menerangkan kesan kortikosteroid untuk mencegah neuralgia selepas herpes berikutan jangkitan herpes zoster akut. Kami juga menilai kepastian bukti itu dengan mempertimbangkan faktor-faktor, seperti saiz kajian dan cara kajian dijalankan. Kami telah membanding dan merumus keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan lima kajian yang mengkaji kesan kortikosteroid pada sejumlah 787 peserta dalam analisis kami. Buktinya sangat tidak pasti tentang kesan kortikosteroid, yang diberikan melalui mulut semasa fasa akut jangkitan zoster, dalam mencegah neuralgia selepas herpes selama enam bulan selepas permulaan ruam herpetik akut. Kortikosteroid yang diberikan secara oral atau intramuskular boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kejadian buruk pada orang yang menghidap herpes zoster akut. Berdasarkan kajian sedia ada, bukti berkepastian sangat rendah tidak menyokong mahupun menafikan penggunaan kortikosteroid dalam jangkitan herpes zoster akut untuk mencegah neuralgia selepas herpes.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami amat terhad kerana keputusan daripada kajian melibatkan bilangan orang yang sedikit. Sesetengah kajian tidak melaporkan kaedah rawak dengan jelas, penyembunyian peruntukan, atau sama ada kekurangan pematuhan disebabkan ketidakberkesanan atau kesan sampingan yang boleh menjejaskan keputusan kajian. Secara keseluruhan, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti, dan kajian lanjut diperlukan untuk menyiasat kesan kortikosteroid dalam mencegah neuralgia selepas herpes.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 25 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@r.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information