Rawatan untuk pencegahan barah perut

Soalan ulasan

Sama ada mengkaji orang yang sihat untuk Helicobacter pylori dan merawat mereka yang dijangkiti melalui pengunaan antibiotik akan mengurangkan jumlah kes baru barah gastrik.

Latar belakang

Helicobacter pylori (H. pylori) adalah bakteria yang hidup di lapisan perut dengan orang yang biasanya tidak menyedari bahawa mereka membawa jangkitan. Orang dengan jangkitan H. pylori lebih cenderung menghidap barah gastrik daripada orang yang tidak dijangkiti bakteria. Maka, H. pylori digolongkan sebagai karsinogenik (penyebab barah) kepada manusia. Setiap tahun, ramai orang di seluruh dunia mati kerana barah gastrik. Ini adalah kerana apabila pesakit mendapatkan pendapat doktor, kondisi mereka sudah bertambah teruk. Walau bagaimanapun, jangkitan H. pylori mudah disembuhkan melalui rawatan antibiotik selama satu minggu.

Ciri-ciri kajian

Pencarian literatur hingga 02 Februari 2020 menemui tujuh kajian (melibatkan 8323 peserta, empat kajian berisiko bias yang rendah). Enam daripada kajian itu berpusat di Asia.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa antibiotik untuk H. pylori mempunyai manfaat kecil dalam mencegah barah gastrik (68 (1.6%) daripada 4206 peserta yang diberi rawatan kemudiannya menghidap barah gastrik, berbanding 125 (3.0%) dari 4117 yang tidak diberi rawatan atau plasebo), dan dalam penurunan jumlah kematian akibat barah gastrik (36 (1.1%) dari 3154, berbanding 59 (1.9%) dari 3147); tetapi tidak jelas apakah peningkatan atau penurunan jumlah kematian disebabkan oleh sebarang sebab, atau peningkatan atau penurunan jumlah kes barah esofagus. Data mengenai kesan sampingan rawatan kurang dilaporkan.

Kualiti bukti

Empat kajian mempunyai risiko bias yang rendah, satu mempunyai risiko bias yang tidak jelas dan dua kajian berisiko bias yang tinggi. Satu kajian berisiko bias yang tinggi kerana tidak ada plasebo digunakan untuk rejimen terapi pembasmian aktif, maka, bahagian kajian ini tidak buta, dan kajian lain berisiko tinggi bias kerana keseragaman laporan data pada dua masa susulan. Kami tidak dapat menyelesaikan perbezaan ini walaupun menghubungi penulis asal. Akibatnya, kami menurunkan kualiti bukti dari tinggi ke sederhana kerana risiko bias yang serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information