Soalan ulasan
Kami mengulas bukti keberkesanan dan keselamatan antipsikotik untuk rawatan delirium dalam kalangan pesakit di hospital, tidak termasuk pesakit di unit penjagaan intensif (wad khusus untuk menjaga pesakit yang tenat).
Latar belakang
Delirium adalah masalah kesihatan awam kerana ia merupakan keadaan kebingungan baharu yang meningkatkan masa tinggal di hospital serta peluang kematian. Cadangan-cadangan garis panduan termasuklah pembalikan ubat yang berpotensi atau ubat pencetus yang mungkin menyumbang kepada delirium. Jika gejala delirium berterusan dan menyedihkan atau berbahaya, ubat antipsikotik mungkin boleh dipreskrib untuk tempoh yang singkat. Ubat-ubatan antipsikotik, juga dikenali sebagai ubat penenang kebanyakan digunakan untuk merawat psikosis (seperti halusinasi). Terdapat dua jenis antipsikotik: generasi pertama atau antipsikotik tipikal (seperti haloperidol) serta generasi kedua atau atipikal (seperti quetiapine). Kedua-dua kumpulan antipsikotik ini menyekat laluan reseptor dopamin otak tetapi antipsikotik atipikal juga bertindak ke atas reseptor serotonin. Antipsikotik atipikal juga didapati berkesan untuk merawat kedua-dua gejala positif (seperti halusinasi) serta gejala negatif (seperti sarak emosi) psikosis. Kami perlu fahami jika antipsikotik memendekkan tempoh delirium atau mengurangkan gejala atau ia menyebabkan lebih mudarat. Oleh itu, kami mengemas kini ulasan Cochrane sedia ada dari 2007.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati sembilan kajian dengan 727 peserta yang menguji antipsikotik untuk rawatan delirium; empat kajian membandingkan satu antipsikotik dengan ubat kelas lain atau plasebo dan tujuh daripada sembilan kajian membandingkan antipsikotik tipikal dengan antipsikotik atipikal.
Penemuan utama
Kami tidak mendapati bukti untuk menyokong atau menyanggah cadangan antipsikotik memendekkan tempoh delirium dalam kalangan pesakit di hospital. Berdasarkan kajian sedia ada, antipsikotik tidak mengurangkan keterukan delirium atau mengurangkan gejala berbanding ubat bukan antipsikotik atau plasebo atau menurunkan risiko kematian. Kami tidak mendapati bukti yang menyokong atau menyanggah cadangan antipsikotik memendekkan tempoh tinggal di hospital atau meningkatkan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan. Kesan-kesan sampingan jarang dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut.
Kualiti bukti
Adalah penting untuk perhatikan banyak hasil klinikal yang relevan tidak dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut dan kualiti keseluruhan bukti adalah rendah.
Pembiayaan eksternal
Jaringan ‘Fraility’ Kanada (sebelumnya Penilaian Teknologi dalam Jaringan Orang Tua [TVN]) (www.cfn-nce.ca/), Kanada
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.