Pengenalan
Diabetes melitus jenis 2 adalah keadaan progresif, yang bermaksud semakin banyak ubat antihiperglisemia diperlukan untuk mencapai paras hemoglobin glycosylated A1c (HbA1c) yang disyorkan dengan peningkatan tempoh penyakit. Ujian HbA1c mengukur paras glukosa darah selama dua hingga tiga bulan. Akhirnya, ramai orang akan memerlukan rawatan insulin. Rawatan insulin sering dilakukan dengan memberi insulin basal manusia sekali atau dua kali sehari. Insulin basal adalah insulin yang bertindak lama dengan permulaan tindakan tertunda yang meliputi keperluan asas insulin badan. Insulin yang bertindak pantas diguna untuk mengganti makanan. Kesan sampingan rawatan insulin paling lazim adalah gula darah rendah (hipoglisemia) dan pertambahan berat badan. Insulin sintetik lebih baharu, iaitu analog insulin bertindak (ultra-) lama, telah dikembangkan dengan tujuan mengurangkan kesan sampingan dan membolehkan kawalan glukosa darah lebih baik.
Soalan ulasan
Kami ingin membandingkan kesan rawatan dengan analog insulin bertindak (ultra-) lama dengan insulin NPH (protamine Hagedorn neutral) (insulin isophane manusia).
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 5 November 2019.
Latar belakang
Adalah tidak jelas jika atau sejauh mana analog insulin bertindak (ultra-) lama menunjukkan lebih banyak manfaat atau kurang mudarat berbanding insulin NPH.
Ciri-ciri kajian
Kesemua 24 kajian yang dimasukkan adalah kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Enam belas kajian membandingkan glargine insulin bertindak lama dengan insulin NPH dan lapan kajian membandingkan detemir insulin bertindak lama dengan insulin NPH. Dalam kajian-kajian tersebut, 3419 orang dengan diabetes melitus jenis 2 dirawak dengan insulin glargine dan 1321 orang dengan insulin detemir. Tempoh kajian adalah antara 24 minggu hingga 5 tahun.
Keputusan utama
Insulin yang berbeza mengurangkan HbA1c dengan amaun yang hampir sama.
Rawatan dengan insulin glargine atau insulin detemir dan bukannya insulin NPH mengakibatkan kurang orang mengalami hipoglisemia. Rawatan dengan insulin detemir mengurangkan risiko hipoglisemia yang serius. Walau bagaimanapun, hipoglisemia serius jarang berlaku dalam kajian-kajian tersebut, di mana kurang dari satu orang daripada 100 orang yang dirawat dengan insulin detemir dan sekitar satu orang dari 100 orang yang dirawat dengan insulin NPH. Lebih kurang satu daripada 100 orang yang dirawat dengan insulin detemir dan bukannya NPH insulin mendapat manfaat.
Maklumat tentang komplikasi yang berkait dengan diabetes (seperti penyakit jantung, penyakit ginjal, kerosakan retina mata dan amputasi), kematian akibat sebarang sebab dan kualiti hidup berkaitan kesihatan sangat jarang. Apabila tersedia, keputusan kajian tidak menunjukkan perbezaan jelas antara analog insulin dan insulin NPH.
Tiada perbezaan jelas antara analog insulin dan insulin NPH untuk kesan sampingan atau pertambahan berat badan.
Tiada kajian yang melaporkan kesan sosioekonomi (seperti kos intervensi, tidak hadir bekerja, pengambilan ubat).
Kepastian bukti
Dalam kajian-kjian tersebut, nilai sasaran glukosa darah dan HbA1c yang ditetapkan adalah sangat rendah. Walau bagaimanapun, doktor sering mengesyorkan sasaran lebih tinggi untuk orang dengan sejarah panjang diabetes jenis 2, yang pernah mengalami serangan jantung atau strok, atau yang sudah tua. Dengan nilai sasaran lebih tinggi, hipoglisemia lebih jarang berlaku dan lebih ramai orang perlu dirawat dengan analog insulin dan bukannya insulin NPH untuk mencegah hipoglisemia dalam satu orang. Oleh itu, keputusan kajian hanya terpakai untuk orang dengan nilai sasaran glukosa darah rendah.
Dalam banyak kajian, penyesuaian insulin NPH yang mencukupi tidak mungkin dilakukan. Walau bagaimanapun, doktor akan melakukannya dalam amalan harian. Oleh itu, pengurangan lebih lanjut manfaat analog insulin dijangka.
Rawatan dalam semua kecuali satu kajian berlangsung selama 12 bulan atau kurang. Walau bagaimanapun, komplikasi berkaitan diabetes sering berlaku hanya selepas bertahun-tahun. Oleh itu, kebanyakan kajian tidak dapat menjawab persoalan penting sama ada rawatan dengan persediaan insulin yang berbeza mempunyai kesan yang berbeza terhadap komplikasi yang berkait dengan diabetes. Ini bermaksud perbezaan yang berpotensi penting antara analog insulin dan insulin NPH tidak dapat dikesan.
Semua kajian bermasalah dalam cara ia dijalankan.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my