Mesej utama
Kami tidak pasti rawatan mana yang terbaik untuk vena varikos kerana kami hanya menemui sebilangan kecil kajian yang membandingkan pelbagai jenis rawatan, dan kerana kajian-kajian berbeza-beza dalam pengukuran keputusan.
- Semua rawatan vena varikos sedia ada adalah serupa, sama ada rawatan tersebut merosakkan vena sepenuhnya, atau menghentikan darah daripada terkumpul di kaki, atau kedua-duanya (kejayaan teknikal).
- Kami memerlukan kajian yang memberi lebih bukti tentang semua rawatan sedia ada.
Apakah vena varikos?
Vena varikos adalah vena yang membonjol dan berbelok-belok, hampir dengan permukaan kulit yang biasanya terjadi pada kaki. Ia disebabkan oleh kekurangan kronik vena, iaitu ketika vena anda tidak dapat membantu darah mengalir kembali ke jantung dengan cekap, dan darah terkumpal di kaki anda. Kira-kira satu pertiga orang dewasa dianggap mempunyai kekurangan kronik vena . Wanita lebih cenderung daripada lelaki untuk vena varikos.
Vena varikos boleh menyakitkan, gatal dan hodoh, terutama ketika berdiri dan berjalan. Kadang-kadang, ia boleh mengakibatkan perubahan kulit atau luka (ulser) di kaki yang mengambil lebih dua minggu untuk sembuh.
Bagaimanakh vena varikos dirawat?
Vena varikos boleh dirawat menggunakan pelbagai prosedur.
Secara tradisional, pembedahan dibuat untuk menghilangkan vena permukaan utama (disebut 'vena safenus besar', yang merentangi dari pangkal peha ke pergelangan kaki) dan sebarang vena varikos yang tersambung melalui pembukaan-pembukaan kecil di kaki. Orang yang menjalani prosedur ini (dikenali sebagai 'ligasi tinggi dan pelucutan') memerlukan anestetik umum untuk membuat mereka tidak sedar dan menghalang rasa sakit atau bergerak semasa pembedahan dilakukan.
Terbaru, beberapa rawatan telah muncul di mana prosedur dilakukan di dalam vena (endovenus), menggunakan tiub yang sangat halus. Rawatan ini melibatkan pengapan vena utama di peha dengan merosakkan dinding vena. Terdapat dua jenis rawatan utama:
- berasaskan haba, di mana tenaga haba dari laser, gelombang radio atau wap, diguna untuk merosakkan dinding vena;
- berasaskan bahan kimia, di mana bahan kimia (termasuk busa atau gam) diguna untuk merosakkan dan seterusnya memengap vena.
Rawatan terbaru ini dilakukan dengan anestetik setempat, yang bermaksud anda tidak merasa sakit pada kaki semasa prosedur tetapi masih sedar.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin bandingkan semua rawatan sedia ada untuk vena varikos untuk mengetahui mana yang terbaik dari segi:
- kejayaan teknikal jangka pendek dan jangka panjang (sama ada rawatan merosakkan vena sepenuhnya, atau menghentikan darah berkumpul di kaki, atau kedua-duanya);
- menghentikan vena varikos terjadi semula (berulang);
- mengelak sebarang kesan yang tidak diingini, dan
- memperbaik kesejahteraan orang.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan rawatan vena varikos dalam kalangan lelaki dan wanita pada sebarang usia.
Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 24 kajian melibatkan 5135 orang dengan vena varikos ringan hingga teruk. Kajian-kajian menyusuli orang antara 5 minggu hingga 8 tahun selepas rawatan. Majoriti orang dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita.
Kajian dilakukan di klinik swasta dan hospital awam di 10 negara yang berbeza: Austria, Denmark, Mesir, Finland, Perancis, Jerman, Belanda, Turki, United Kingdom dan AS.
Kajian-kajian yang didapati tidak menyiasat semua kemungkinan rawatan vena varikos, terutamanya rawatan yang lebih baharu.
Keputusan utama
Kejayaan teknikal
Sebilangan besar rawatan sama sekali merosakkan vena atau mencegah darah terkumpul di kaki, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun:
- rawatan endovenus berasaskan haba dengan laser mungkin lebih berjaya berbanding pembedahan tradisional;
- kedua-dua rawatan laser berasaskan haba dan pembedahan mungkin lebih berjaya daripada rawatan endovenus berasaskan kimia dengan bahan kimia busa.
Kadar perulangan
Kebanaykan rawatan berjaya menghentikan vena varikos berulang.
Rawatan endovenus gelombang radio berasaskan haba mungkin lebih baik dari kedua-dua rawatan dan pembedahan endovenus laser untuk mencegah vena varikos berulang dalam jangka masa panjang.
Kesan yang tidak diingini
Secara umum kesan yang tidak diingini rendah untuk semua rawatan. Kajian-kajian tersebut melaporkan sangat sedikit kesan yang tidak diingini yang memerlukan rawatan, baik dalam jangka pendek dan jangka panjang.
Kesejahteraan
Orang dalam kajian menyatakan mereka dapat meningkat kesejahteraan tanpa mengira rawatan yang diterima.
Apakah pembatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah antara sederhana hingga sangat rendah kerana:
- kebimbangan bagaimana kajian dijalankan (orang dalam kebanyakan kajian tahu tentang rawatan diterima, begitu juga para penyelidik yang menilai data rawatan, yang boleh mempengaruhi keputusan-keputusan kajian);
- kajian-kajian yang serupa tidak mendapat hasil yang sama; dan
- hanya sebilangan kecil kajian menyumbang data untuk setiap keputusan.
Kami tidak dapat membuat kesimpulan kukuh tentang rawatan mana yang terbaik.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan Cochrane ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga November 2020
Diterjemah oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.