Diet atau senaman, atau kedua-duanya, untuk penurunan berat dalam kalangan wanita yang mengalami berat berlebihan selepas bersalin.

Wanita secara semula jadi bertambah berat ketika hamil dan ramai yang beransur-ansur hilang berat selepas itu. Namun sesetengah wanita sukar menghilangkan berat yang telah bertambah dalam satu atau dua tahun selepas kelahiran anak dan ada kebimbangan bahawa keadaan ini mungkin menjadi risiko kesihatan kepada mereka. Pengekalan berat yang bertambah semasa hamil mungkin menyumbang kepada obesiti, yang boleh meningkatkan risiko diabetis, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Adalah dicadangkan wanita yang kembali kepada berat sebelum hamil dalam masa lebih kurang enam bulan berisiko lebih rendah untuk menjadi terlampau berat 10 tahun kemudian. Ulasan ini mencari kajian-kajian rawak untuk menilai impak mengawal diet atau senaman, atau kedua-duanya, terhadap kehilangan berat wanita dalam beberapa bulan selepas bersalin. Ia memberi perhatian khusus kepada wanita yang menyusukan anak untuk mempastikan penyusuan tidak terjejas. Ulasan kajian-kajian ini mendapati 14 kajian, dengan 12 kajian melibatkan 910 wanita terlebih berat selepas bersalin yang menyumbang data untuk analisis. Penemuan mencadangkan gabungan diet dengan senaman atau diet sahaja berbanding penjagaan biasa dilihat membantu menghilangkan berat selepas bersalin. Intervensi-intervensi tersebut berpotensi memain peranan dalam mencegah obesiti ibu di masa akan datang. Tiada cukup bukti untuk mempastikan senaman atau diet tidak mengganggu penyusuan walaupun ia tidak kelihatan tidak begitu dalam kajian-kajian yang dimasukkan. Adalah lebih baik untuk menghilangkan berat melalui kombinasi diet dan senaman, berbanding diet sahaja, kerana senaman dianggap memperbaiki peredaran dan kecergasan jantung, dan mengekalkan jisim badan tanpa lemak. Penyelidikan lanjut diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Akma Binti Mat Junoh (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi norakmayunus@usm.my

Tools
Information