Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mencari terapi yang terbaik untuk mengurangkan risiko kematian daripada meningitis cryptococcal dalam individu yang positif HIV. Penulis ulasan Cochrane menganalisis data dari kajian klinikal yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 13 kajian yang relevan.
Mesej utama
Rawatan awal yang lebih pendek dengan gabungan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine selama satu minggu mungkin menyebabkan risiko kematian yang lebih rendah daripada rawatan yang lebih panjang dengan gabungan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine selama dua minggu yang secara tradisinya disyorkan dalam garis panduan rawatan. Rawatan yang lebih pendek mungkin menyebabkan kelepasan jangkitan dengan keracunan yang kurang dari ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan. Di mana amphotericin B deoxycholate tidak boleh diberikan, gabungan flucytosine dengan fluconazole selama dua minggu mungkin pilihan rawatan yang baik. Memandangkan kekurangan data daripada kajian di kalangan kanak-kanak, dan data yang terhad daripada negara berpendapatan tinggi, penemuan kami menyediakan panduan terhad untuk rawatan bagi pesakit dan keadaan ini.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Meningitis cryptococcal yang berkaitan dengan HIV adalah jangkitan kulat teruk pada otak dan membran sekitar yang menyebabkan kira-kira 15% kematian berkaitan HIV di seluruh dunia. Jangkitan kebanyakannya berlaku pada orang yang mempunyai HIV/AIDS yang maju dan kebanyakan kematian daripada meningitis cryptococcal berlaku di negara yang mempunyai sumber terhad. Rawatan termasuk terapi antikulat awal diikuti dengan rawatan penyambungan dengan fluconazole oral. Garis panduan sebelum ini mencadangkan kombinasi intravena amphotericin B dan oral flucytosine selama dua minggu sebagai rawatan yang terbaik. Walau bagaimanapun, disebabkan kos rawatan yang tinggi dan ketersediaan yang terhad bagi ubat-ubatan antikulat yang kuat serta cabaran dalam menguruskan keracunan dadah yang biasa, negara yang sumber-terhad sering menggunakan terapi yang kurang berkesan seperti fluconazole oral sahaja.
Pengarang ulasan membanding ubat-ubatan antikulat berbeza yang digunakan untuk terapi awal meningitis cryptococcal yang berkaitan dengan HIV untuk menentukan rawatan yang terbaik untuk mengurangkan risiko kematian. Beberapa kajian klinikal terkini yang termasuk dalam ulasan ini mengkaji kursus rawatan awal yang lebih pendek atau rawatan lisan bagi meningitis cryptococcal untuk mengurangkan keracunan dadah dan meningkatkan kemampuan dalam negara yang sumber terhad di mana kebanyakan jangkitan berlaku.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
13 kajian termasuk 2426 orang dan secara langsung membanding 21 terapi yang berbeza. Semua kajian telah dijalankan pada orang dewasa, dan semua kecuali dua kajian telah dijalankan dalam keadaan sumber terhad, termasuk 11 daripada 12 kajian dengan data kematian 10 minggu. Satu kajian besar terkini yang dijalankan pada orang dewasa dari empat negara di Afrika menyumbang kepada 10 daripada perbandingan ini. Kajian ini mendapati bahawa kombinasi intravena amphotericin B deoxycholate dan flucytosine oral selama satu minggu diikuti oleh fluconazole mungkin menyebabkan risiko kematian yang lebih rendah dalam masa 10 minggu daripada kombinasi amphotericin B deoxycholate dan flucytosine selama dua minggu (kepastian bukti sederhana). Kadar pengurangan kulat yang diukur dalam bendalir serebrospinal tidak berbeza antara kumpulan rawatan tetapi amphotericin B deoxycholate dan flucytosine dalam tempoh yang lebih singkat telah dikaitkan dengan risiko keracunan mengancam nyawa yang lebih rendah diukur melalui ujian darah. Keputusan ini mencadangkan bahawa satu minggu rawatan yang lebih pendek dengan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine adalah mungkin lebih baik daripada dua minggu dengan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine.
Dalam kajian yang sama, satu minggu dengan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine mungkin menyebabkan risiko kematian yang lebih rendah berbanding dengan kombinasi flucytosine oral dan fluconazole (kepastian bukti sederhana). Walau bagaimanapun, risiko kematian adalah sama antara flucytosine oral dan fluconazole dan amphotericin B deoxycholate dan flucytosine selama dua minggu (kepastian bukti sederhana). Di mana terapi amphotericin B intravena tidak didapati atau tidak selamat diberikan kepada pesakit, ini menunjukkan bahawa terapi kombinasi dengan flucytosine oral dan fluconazole adalah rawatan alternatif yang baik.
Memandangkan ketiadaan data daripada kajian di kalangan kanak-kanak, dan data yang terhad daripada negara berpendapatan tinggi, penemuan kami memberikan panduan terhad untuk rawatan bagi pesakit dan keadaan ini.
Adakah ulasan ini terkini?
Para penulis ulasan telah mencari kajian sehingga 9 Januari 2018.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my