Iridotomi laser periferi untuk glaukoma pigmen

Soalan ulasan
Apakah kesan iridotomi laser periferi berbanding dengan rawatan lain atau tiada rawatan untuk pesakit dengan gejala penyebaran pigmen atau glaukoma pigmen?

Latar belakang
Glaukoma adalah keadaan mata kronik yang dikaitkan dengan kehilangan penglihatan dari semasa ke semasa. Salah satu faktor risiko utama untuk glaukoma ialah peningkatan tekanan dalam mata, yang dikenali sebagai hipertensi okular. Pada mata dengan gejala penyebaran pigmen (PDS), zarah dari iris (bahagian berwarna mata) terputus daripada iris dan termendap pada bahagian lain dalam mata. Kadangkala, zarah-zarah ini menyekat aliran cecair keluar dari bahagian hadapan mata, yang membawa kepada hipertensi okular. Glaukoma pigmen adalah bentuk glaukoma khusus yang mungkin ditemui pada pesakit dengan PDS. Terapi perubatan topikal biasanya merupakan rawatan pertama; walau bagaimanapun, iridotomi laser periferi telah dicadangkan sebagai rawatan alternatif.

Iridotomi periferi adalah prosedur yang dilakukan dengan laser. Pancaran cahaya laser digunakan untuk membakar lubang kecil di iris untuk mencipta pembukaan bagi pergerakan bebas cecair dalam bahagian hadapan mata. Tujuan prosedur ini adalah untuk mengurangkan tekanan dalam mata, dengan itu mengurangkan kemungkinan glaukoma dan/atau kehilangan penglihatan. Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada iridotomi periferi mengurangkan perkembangan atau perkembangan glaukoma pigmen dalam amalan.

Butiran kajian
Kami mencari pangkalan data elektronik yang berbeza untuk mengenal pasti kajian rawak terkawal yang menilai keberkesanan iridotomi periferi pada orang dengan PDS atau glaukoma pigmentari. Kami memasukkan lima kajian dengan sejumlah 260 mata dari 195 peserta. Carian adalah terkini sehingga 2 November 2015.

Keputusan utama
Kami mendapati tiada faedah yang jelas untuk iridotomi laser periferi berbanding tiada laser pada mata dengan PDS atau glaukoma pigmen dari segi mencegah kehilangan medan penglihatan. Bukti berkualiti sangat rendah mencadangkan bahawa iridotomi laser mungkin lebih berkesan dalam menurunkan tekanan dalam mata jika dibandingkan dengan tiada iridotomi laser sehingga 10 tahun selepas rawatan. Beberapa kesan buruk dilaporkan di kalangan peserta dalam kajian ini; kejadian buruk yang paling kerap dilaporkan ialah keradangan ringan selepas pembedahan dan katarak.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana hasil pelaporan kaedah kajian yang lemah, maklumat yang tidak lengkap untuk analisis data yang bermakna, dan variasi dalam hasil yang dinilai antara kajian. Kesimpulannya, bukti tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan iridotomi periferi sebagai rawatan untuk glaukoma pigmen. Kajian rawak terkawal yang direka dengan baik adalah diperlukan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan iridotomi periferi untuk PDS dan glaukoma pigmen.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information