Mengapakah soalan ini penting
Diabetes menyebabkan kadar gula yang tinggi dalam darah. Ini boleh merosakkan saluran darah kecil di bahagian belakang mata (retina). Sekiranya ia bocor, bahagian tengah retina (makula) membengkak. Ini disebut edema makula diabetes, dan boleh menyebabkan penglihatan kabur. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.
Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan menyuntik steroid (ubat anti-radang) ke dalam mata. Kami mengulas bukti penyelidikan untuk membandingkan faedah dan risiko rawatan ini terhadap tanpa rawatan atau rawatan lain.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti
Kami mencari semua kajian yang relevan dalam penulisan perubatan, membandingkan hasilnya dan merumuskan bukti. Kami menilai seberapa pasti bukti untuk setiap penemuan, berdasarkan faktor seperti seberapa baik kajian dilakukan, ukuran kajian, atau konsistensi penemuan merentasi kajian. Kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang kami temui
Kami mengenal pasti 10 kajian terhadap 4348 orang dengan edema makula diabetes. Peserta diikuti antara 9 sehingga 36 bulan. Kajian itu menyiasat tiga steroid berbeza yang disuntikkan: dexamethasone, fluocinolone, dan triamcinolone. Enam kajian telah dibiaya oleh pengilang farmaseutikal.
Manfaat (diukur 12 atau 24 bulan selepas rawatan)
Berbanding dengan rawatan palsu:
• Dexamethasone dan fluocinolone mungkin meningkatkan ketajaman penglihatan dan mengurangkan ketebalan retina lebih banyak; triamcinolone juga boleh melakukan ini.
• Kemungkinan lebih banyak penglihatan orang bertambah tiga garis atau lebih pada carta penglihatan dengan fluocinolone. Bukti adalah tidak mencukupi untuk mengetahui sama ada dexamethasone atau triamcinolone mempunyai kesan yang sama.
Berbanding dengan antiangiogenik (ubat-ubatan yang menghalang saluran darah baru terbentuk di belakang retina):
• Dexamethasone mungkin meningkatkan ketajaman penglihatan sama atau sedikit kurang tetapi dapat mengurangkan ketebalan retina sedikit lebih banyak. Triamcinolone juga dapat meningkatkan ketajaman penglihatan sedikit; kami tidak tahu cara ia mempengaruhi ketebalan retina kerana buktinya berkepastian sangat rendah.
• Kami tidak dapat mengetahui sama ada lebih banyak penglihatan orang bertambah dengan tiga garis atau lebih pada carta penglihatan dengan dexamethasone atau triamcinolone. Ini kerana bukti mengenai dexamethasone adalah tidak konsisten dan kurang pasti, dan tidak ada kajian mengenai triamcinolone yang menilai hal ini.
Berbanding dengan terapi laser:
• Triamcinolone boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan sama ada penglihatan seseorang bertambah tiga garis atau lebih pada carta penglihatan.
• Kami tidak tahu sama ada triamcinolone meningkatkan ketajaman penglihatan atau mengurangkan ketebalan retina kerana bukti yang tidak mencukupi.
Risiko (diukur sembilan hingga 36 bulan selepas rawatan)
Berbanding dengan rawatan palsu:
• Kemungkinan katarak berkembang lebih banyak pada orang dengan dexamethasone atau fluocinolone; katarak mungkin lebih cenderung dengan triamcinolone juga.
• Ada kemungkinan bahawa lebih banyak orang yang dirawat dengan dexamethasone atau fluocinolone memerlukan titisan yang menurunkan tekanan mata. Bukti itu terlalu tidak tepat untuk menunjukkan jika triamcinolone mempengaruhi keperluan titisan tersebut.
• Fluocinolone dapat meningkatkan risiko memerlukan pembedahan untuk glaukoma (kerosakan saraf optik yang disebabkan oleh tekanan tinggi pada mata). Tidak ada bukti yang cukup untuk menunjukkan jika dexamethasone atau triamcinolone mempengaruhi keperluan pembedahan glaukoma.
Berbanding dengan antiangiogenik:
• Perkembangan katarak dan keperluan titisan mata untuk penurunan tekanan mungkin lebih besar dengan dexamethasone.
• Kami tidak tahu sama ada dexamethasone mempengaruhi keperluan pembedahan glaukoma kerana buktinya adalah lemah dan tidak tepat.
• Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan jika triamcinolone menyebabkan lebih banyak kesan buruk.
Berbanding dengan terapi laser:
• Perkembangan katarak dan keperluan titisan mata untuk penurunan tekanan mungkin lebih besar dengan triamcinolone.
• Bukti terlalu tidak tepat untuk menunjukkan cara triamcinolone mempengaruhi keperluan pembedahan glaukoma.
Apakah maksudnya
Bukti berkepastian rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa:
- steroid boleh, atau mungkin lebih berkesan daripada rawatan palsu;
- steroid boleh, atau mungkin kurang berkesan untuk meningkatkan ketajaman penglihatan daripada antiangiogenik;
- steroid boleh, atau mungkin, meningkatkan risiko perkembangan katarak dan tekanan mata yang tinggi.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 15 Mei 2019.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.