Soalan ulasan
Dalam bayi yang baru lahir, adakah pemberian nutrisi intravena dengan kandungan asid amino (protein) yang lebih tinggi dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran menghasilkan pertumbuhan yang lebih baik dan kelangsungan hidup tanpa kecacatan pada bayi baru lahir?
Latar belakang
Bayi yang baru lahir yang sakit dan pramatang berisiko untuk mengalami kekurangan zat makanan dan kegagalan pertumbuhan daripada ketidakupayaan untuk menerima protein pada dos yang bersamaan dengan yang diterima semasa mereka berada dalam rahim. Walaupun pemberian dos asid amino yang lebih tinggi dalam nutrisi parenteral melalui vena memberikan manfaat yang berpotensi, kemungkinan kesan sampingan dari protein berlebihan disebabkan oleh hati dan buah pinggang bayi yang belum matang, bertanggungjawab untuk menggunakan protein dan mengeluarkan sisa protein dari tubuh, tetap menjadi perkara yang menjadi perhatian.
Ciri-ciri kajian
Ulasan itu merangkumi 21 kajian yang melaporkan hasil klinikal pada bayi pramatang atau berat badan lahir rendah. Laporan adalah tidak lengkap untuk semua hasil. Carian untuk kajian telah dijalankan pada bulan Jun 2017.
Keputusan utama
Pengambilan asid amino yang lebih tinggi tidak menjejaskan kelangsungan hidup bayi pramatang atau berat badan lahir rendah. Tiada maklumat yang mencukupi untuk menentukan sama ada ini mempunyai kesan ke atas perkembangan saraf. Pengambilan asid amino yang lebih tinggi dikaitkan dengan kegagalan pertumbuhan yang lebih rendah, pertumbuhan kepala meningkat, dan masalah mata pramatang yang kurang (masalah mata tidak teruk). Pengambilan asid amino yang tinggi juga dikaitkan dengan peningkatan tahap produk sisa protein (urea) dan kadar gula dalam darah yang tinggi.
Kesimpulan
Pengambilan asid amino yang lebih tinggi tidak menjejaskan kelangsungan hidup tetapi mengurangkan kejadian kegagalan pertumbuhan sehingga masa discaj hospital. Pengambilan asid amino yang tinggi boleh menghasilkan kesan lain, termasuk peningkatan pertumbuhan kepala dan pengurangan masalah mata ('retinopathy of prematurity'), walaupun kesan ini tidak dapat ditentukan dengan pasti. Bukti menunjukkan bahawa pengambilan asid amino yang tinggi mungkin tidak boleh diterima oleh semua bayi. Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan pengambilan asid amino yang optimum untuk nutrisi parenteral dan keseimbangan nutrisi pada bayi pramatang.
Kualiti bukti
Bukti yang berkualiti rendah menunjukkan bahawa pengambilan AA yang lebih tinggi dalam nutrisi parenteral tidak memberi kesan terhadap kadar kematian. Kualiti bukti yang sangat rendah menunjukkan bahawa pengambilan AA yang lebih tinggi mengurangkan insiden kegagalan pertumbuhan selepas bersalin, dan pengambilan AA yang lebih tinggi mengurangkan "retinopathy of prematurity", tetapi bukan pada retinopati yang teruk. Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada pengambilan AA yang lebih tinggi mempunyai kesan ke atas pembangunan saraf.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.