Latihan mental untuk meningkatkan fungsi lengan dan pergerakan lengan dalam individu yang mengalami hemiparesis selepas strok

Soalan kajian

Adakah latihan mental meningkatkan hasil pemulihan lengan bagi individu-individu yang hidup dengan kesan strok?

Latar belakang

Latihan mental adalah proses seseorang individu berulang-ulang kali melakukan sebarang pergerakan atau tugas secara imaginasi tanpa benar-benar melakukannya secara fizikal. Matlamat latihan mental adalah meningkatkan prestasi pergerakan ataupun tugas tersebut. Latihan mental telah dicadangkan sebagai satu potensi tambahan untuk latihan fizikal yang biasanya dilakukan oleh mangsa strok yang menjalani pemulihan.

Tarikh carian

Kami telah mencari 10 pangkalan data elektronik dan dua pangkalan data ujian klinikal pada September 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami telah menyertakan 25 kajian yang merangkumi 676 peserta kajian. Tiga puluh empat peratus daripada peserta adalah wanita. Dalam semua kajian, peserta telah dibahagikan ke dalam kumpulan secara rawaknya. Kajian-kajian tersebut, di mana telah dilaporkan dari sembilan negara, mengukur satu atau lebih dari satu hasil berikut: fungsi lengan untuk tugas-tugas kehidupan sebenar yang sesuai untuk bahagian lengan (misalnya minum dari cawan, memutarkan tombol pintu), kandungan serta kualiti pergerakan lengan dan aktiviti-aktiviti kehidupan seharian. Kami telah mencari tetapi tidak menemui bukti yang berkaitan dengan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kos ekonomi, dan kesan buruk.

Dapatan kajian

Tinjauan kami terhadap penulisan yang ada memberikan bukti kepastian sederhana bahawa latihan mental, apabila ditambahkan pada rawatan pemulihan fizikal yang lain, telah menghasilkan hasil yang lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan rawatan pemulihan yang lain semata-mata. Bukti setakat ini menunjukkan ada peningkatan fungsi lengan dan pergerakan lengan. Adalah tidak jelas sama ada (1) latihan mental yang ditambahkan pada latihan fizikal menghasilkan peningkatan dalam aktiviti kehidupan seharian; (2) latihan mental sahaja berbanding rawatan konvensional adalah bermanfaat dalam meningkatkan kawalan motor pada lengan; (3) berapa banyak latihan mental yang dapat memberikan hasil yang terbaik; (4) dan adakah latihan mental paling baik digunakan pada waktu tertentu selepas strok. Tiada kesan sampingan atau mudarat yang dilaporkan dalam kajian-kajian ini.

Kepastian tentang bukti

Bagi latihan mental yang ditambahkan pada rawatan pemulihan fizikal yang lain berbanding dengan hanya penggunaan rawatan pemulihan yang lain, kepastian bukti adalah sederhana untuk hasil-hasil fungsi lengan dan pergerakan lengan berdasarkan beberapa cabaran dalam reka bentuk kajian. Kepastian bukti adalah rendah untuk hasil aktiviti-aktiviti kehidupan seharian berdasarkan reka bentuk kajian dan jumlah bilangan yang kecil untuk peserta yang disertakan. Bagi latihan mental berbanding dengan rawatan konvensional, kepastian bukti untuk hasil pergerakan lengan telah ditunjukkan sebagai rendah kerana alasan yang sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information