Senaman untuk pesakit yang lebih tua semasa penginapan hospital yang tidak dirancang

Mesej utama

Mungkin terdapat faedah dalam beberapa rawatan senaman untuk orang dewasa yang lebih tua semasa penginapan hospital yang tidak dirancang, tetapi kami tidak dapat memastikannya. Intervensi senaman mungkin tidak menyebabkan bahaya; kami mendapati tiada peningkatan dalam risiko jatuh pada orang dewasa yang lebih tua apabila mereka berada di hospital.

Apakah masalahnya?

Orang dewasa yang lebih tua kebanyakan kehilangan keupayaan untuk menjalankan aktiviti harian mereka yang biasa selepas kemasukan ke hospital yang tidak dirancang. Salah satu sebab untuk ini ialah orang kurang aktif di hospital berbanding kebiasaan mereka berada di rumah ketika sihat. Kekurangan aktif di hospital juga boleh menyebabkan masalah lain, seperti risiko yang lebih tinggi untuk menjadi keliru, kesukaran bergerak dan kualiti hidup yang berkurangan apabila keluar dari hospital.

Apa yang kami ingin ketahui?

Adakah membantu orang tua untuk bersenam semasa di hospital meningkatkan pemulihan dan keupayaan mereka untuk menguruskan aktiviti harian biasa mereka apabila mereka dibenarkan keluar dari hospital?

Apa yang kami buat?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang membandingkan program senaman dengan penjagaan biasa (dengan atau tanpa intervensi palsu). Penjagaan biasa merupakan rawatan yang biasanya akan diberikan kepada pesakit yang bukan sebahagian daripada kajian penyelidikan. Dua kajian menggunakan intervensi palsu sebagai tambahan kepada penjagaan biasa. Intervensi palsu ini bukan direka untuk memberi kesan kepada pemulihan pesakit, tetapi untuk menambah tahap kebolehpercayaan kepada kajian penyelidikan.

Apa yang kami dapati?

Kami menjumpai 24 kajian dengan 7511 peserta, di mana 58% adalah wanita. Purata umur peserta dalam kajian adalah antara 73 hingga 88 tahun. Tiga belas kajian adalah dari Eropah, enam dari Oceania, empat dari Amerika Utara dan satu dari Amerika Selatan. Peserta dimasukkan ke hospital dengan pelbagai jenis penyakit atau keadaan medikal seperti jangkitan, kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang, pendarahan dalam perut atau usus, serta vertigo.

Jenis rawatan senaman dan jumlah senaman yang diminta orang ramai berbeza-beza. Sembilan kajian mengklasifikasikan rawatan senaman sebagai aktiviti berkaitan pemulihan (rawatan yang direka untuk meningkatkan aktiviti fizikal, tetapi tidak mengikuti program senaman tertentu). Enam kajian terdiri daripada senaman berstruktur (program senaman khusus yang dilakukan oleh setiap orang dalam kumpulan rawatan). Senaman mungkin berbeza-beza bergantung kepada keupayaan individu, tetapi rawatan tidak melibatkan latihan kekuatan progresif. Dengan latihan kekuatan progresif, orang ramai menggunakan otot mereka melawan beberapa jenis rintangan yang meningkat secara progresif apabila kekuatan mereka bertambah baik. Sembilan kajian menyediakan satu elemen daripada latihan rintangan progresif.

Penemuam utama

Program senaman mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan berbanding penjagaan biasa pada keupayaan orang ramai untuk menjalankan aktiviti harian yang biasa (menjaringkan 1.8% lebih baik, antara 0.43% lebih teruk hingga 4.12% lebih baik).

Berbanding dengan penjagaan biasa (dengan atau tanpa rawatan palsu), rawatan senaman menghasilkan skor 6.5% lebih baik (0.2% lebih baik hingga 13.1% lebih baik) dalam keupayaan untuk berjalan dan bergerak. Walau bagaimanapun, kami sangat tidak pasti tentang kesan sebenar program senaman kerana kualiti bukti.

Sepuluh peratus lebih sedikit orang (42% kurang kepada 41% lebih) yang menerima program senaman berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa mengalami kekeliruan baharu semasa di hospital, tetapi kami tidak pasti tentang keputusannya.

Tiada kajian yang mengukur sama ada orang yang mengambil bahagian dalam penyelidikan berpendapat bahawa rawatan senaman itu berjaya.

Program senaman mungkin tidak meningkatkan kualiti hidup secara klinikal semasa keluar dari hospital berbanding penjagaan biasa (6.0% lebih baik, antara 0.9% lebih baik hingga 15.5% lebih baik).

Program senaman mungkin memberi sedikit perbezaan terhadap bilangan orang yang jatuh semasa berada di hospital berbanding penjagaan biasa (kurang 1% orang, antara 41% kurang hingga 65% lebih).

Dua peratus lagi orang (38% kurang hingga 68% lebih) yang menerima program senaman menjadi lebih tidak sihat semasa di hospital berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, disebabkan kualiti bukti, kami sangat tidak pasti tentang kesan sebenar program senaman.

Kami juga tidak pasti tentang jenis senaman tertentu yang memberikan lebih banyak manfaat daripada yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kualiti bukti secara amnya rendah atau sangat rendah untuk kebanyakan hasil yang kami sertakan dalam ulasan ini. Beberapa kajian direka dengan cara yang mengurangkan kebolehpercayaan keputusan mereka, tetapi terdapat juga perbezaan penting antara penemuan kajian yang berbeza dan banyak ketidakpastian tentang kesan sebenar rawatan senaman.

Sejauh mana bukti terkini?

Ulasan Cochrane ini terkini sehingga Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information