Latar belakang
Tiub intravena pusat merupakan tiub anjal kurus yang dimasukkan ke dalam urat seseorang untuk memberi penjagaan perubatan. Mereka digunakan untuk memberi ubat-ubatan, cecair atau nutrien (untuk memberi makan kepada pesakit) terus ke dalam saluran darah. Namun begitu, mereka boleh menyebabkan darah untuk beku (membentuk ketulan yang kecil). Ini mencegah darah mengalir secara biasa dalam saluran darah. Bekuan darah juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti kesakitan atau bengkak, tetapi ia juga boleh berlaku tanpa sebarang gejala. Mereka boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kematian, jika mereka bergerak dan tersekat dalam urat besar atau dalam paru-paru.
Sejak tahun 1990-an, pembekuan darah dalam kanak-kanak secara amnya telah menjadi lebih kerap, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam pembekuan darah dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat dengan tiub intravena pusat. Kami menilai kajian yang sedia ada untuk mengetahui jika memberi kanak-kanak ubat pencair darah yang dipanggil heparin dengan berat molekul rendah (LMWH) boleh melindungi daripada pembekuan darah. Kami juga ingin tahu sama ada LMWH meningkatkan risiko pendarahan kecil atau serius, kematian atau kesan-kesan sampingan (buruk) lain yang tidak diingini.
Apa yang telah kami temui?
Kami mencari penulisan saintifik pada Mei 2019. Kami menemui dua kajian (satu lebih daripada carian pada tahun 2014). Kajian-kajian ini membandingkan apa yang terjadi dalam kanak-kanak (berumur sehingga 18 tahun) yang dirawat dengan menggunakan tiub intravena pusat yang menerima LMWH dan mereka yang tidak. Seramai 1135 kanak-kanak telah disusuli untuk masa antara 30 dan 64 hari. Pada masa itu, jumlah bekuan darah, kejadian pendarahan dan kematian telah dicatatkan. Satu kajian juga telah melihat jumlah kematian lima tahun selepas rawatan.
Kedua-dua kajian yang kami temui tidak membenar kami menentukan dengan pasti sama ada LMWH melindungi kanak-kanak dengan tiub intravena pusat daripada mengalami bekuan darah (dengan atau tiada gejala).
Kajian-kajian tersebut juga tidak membenar kami menentukan sama ada kanak-kanak yang mengambil LMWH adalah lebih cenderung untuk mengalami pendarahan (kecil atau serius), atau sama ada LMWH meningkatkan atau mengurangkan risiko kematian.
Kedua-dua kajian tersebut tidak melaporkan kesan buruk tambahan yang disebabkan oleh LMWH.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti rendah untuk bekuan darah, rendah untuk pendarahan besar, sangat rendah untuk pendarahan kecil, dan rendah untuk kematian. Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah kerana:
⦁ terdapat perbezaan dalam cara darah membeku, pendarahan dan kematian yang diukur antara kajian;
⦁ terdapat sedikit kajian dan peristiwa-peristiwa; dan
⦁ para penyelidik dan kanak-kanak dalam kajian-kajian tersebut tahu siapa yang menerima LMWH dan siapa yang tidak, yang boleh mempengaruhi keputusan.
Kemungkinan kajian pada depan akan mempunyai kesan penting pada pemahaman tentang peranan LMWH untuk mencegah bekuan darah dan kesan-kesan sampingannya.
Kesimpulan
Kami memerlukan lebih banyak kajian sama ada LMWH mencegah pembekuan darah dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat menggunakan saluran vena pusat.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my