Apakah penyakit Crohn?
Penyakit Crohn adalah penyakit radang usus yang kronik yang sering terjadi di bahagian bawah usus kecil (ileum). Gejala-gejala termasuklah sakit pada bahagian abdomen, cirit-birit dan kehilangan berat badan. Apabila pesakit penyakit Crohn mengalami gejala, penyakit ini dianggap 'aktif'. Apabila gejala ini berhenti, ia dipanggil ‘remisi’. Apabila pesakit dalam remisi mengalami gejala-gejala ia dipanggil 'kambuh'.
Apakah pemakanan enteral?
Pemakanan enteral adalah kaedah pemakanan di mana semua pengambilan kalori harian seseorang diberikan menggunakan saluran GI. Pemakanan enteral boleh diberikan melalui mulut atau tiub pemakanan, di mana tiub dimasukkan melalui hidung atau abdomen ke dalam perut untuk memberikan makanan dalam bentuk cecair. Pemakanan enteral adalah satu bentuk terapi pemakanan untuk pesakit yang menghidap penyakit Crohn. Mekanisma yang mana pemakanan enteral dapat mempengaruhi keradangan adalah tidak diketahui dan sedang dikaji. Pemakanan enteral boleh dikategorikan sebagai diet unsur dan bukan unsur (semi-unsur dan polimerik). Diet unsur terdiri daripada asid amino (sebatian organik), lemak, gula, vitamin dan mineral. Diet unsur mudah diserap dan dicerna. Diet bukan unsur adalah berdasarkan oligopeptida (sebatian organik yang terdiri daripada 2 hingga 20 asid amino) atau sumber protein keseluruhan. Diet bukan unsur adalah terbaik untuk orang yang dapat mencerna dan menyerap nutrien tanpa kesukaran.
Apa itu 6-mercaptopurine?
6-Mercaptopurine adalah ubat imunosupresif yang dianggap dapat mengurangkan keradangan pada orang dengan penyakit Crohn dengan menyekat sistem imunisasi badan.
Apa itu mesalamine?
Mesalamine adalah ubat asid 5-aminosalicylic. Ubat 5-Aminosalicylic dianggap dapat merawat penyakit Crohn dengan mengurangkan keradangan pada saluran gastrousus. Ubat ini biasanya diambil melalui mulut.
Apakah yang dikaji oleh penyelidik?
Para penyelidik mengkaji sama ada pemakanan enteral membantu mengekalkan remisi pada orang dengan penyakit Crohn. Para penyelidik juga mengkaji sama ada satu jenis pemakanan enteral adalah lebih baik daripada yang lain (contohnya unsur berbanding dengan bukan unsur) yang mengekalkan remisi dalam orang dengan penyakit Crohn.
Apakah yang ditemui penyelidik?
Empat kajian termasuk 262 peserta dewasa dengan penyakit Crohn dalam remisi telah dimasukkan. Satu kajian (33 peserta) membandingkan diet unsur dengan diet bukan unsur (polimerik). Satu kajian (51 peserta) membandingkan diet unsur dengan diet normal (tanpa suplemen). Satu kajian (95 peserta) membandingkan diet unsur dengan 6-mercaptopurine atau kumpulan kawalan rawatan tanpa rawatan. Satu kajian (83 peserta) membandingkan diet bukan unsur polimerik kepada mesalamine. Para penyelidik mencari penulisan perubatan secara meluas sehingga 27 Julai 2018.
Kajian yang membandingkan diet unsur dengan diet polimerik tidak menemukan perbezaan dalam kadar remisi pada 12 bulan. Enam peserta diet unsur tidak dapat menerima formula pemakanan enteral kerana rasa atau bau, dan mereka menarik diri dari kajian. Peserta yang menerima separuh daripada jumlah keperluan kalori harian mereka sebagai diet unsur dan separuh lagi dengan diet biasa mempunyai peluang kambuh yang lebih rendah pada 12 bulan berbanding peserta yang menerima diet bebas. Tiada kesan sampingan dilaporkan dalam kajian ini. Kajian membandingkan diet unsur dengan 6-mercaptopurine tidak menunjukkan perbezaan dalam kadar kambuh pada 12 bulan. Tiada perbezaan dalam kadar kesan sampingan. Satu-satunya kesan sampingan yang dilaporkan dalam kumpulan diet unsur adalah pembedahan kerana penyakit Crohn bertambah buruk. Kesan sampingan dalam kumpulan 6-mercaptopurine termasuk kecederaan hati dalam dua peserta, keguguran rambut dalam satu peserta dan pembedahan untuk merawat abses dalam satu peserta. Kajian membandingkan diet polimerik dengan mesalamine tidak menemukan perbezaan kadar kambuh pada enam bulan. Dua peserta kumpulan diet polimerik mengalami loya dan empat mengalami cirit-birit. Tidak jelas jika ada peserta dalam kumpulan mesalamine yang mempunyai kesan sampingan. Tidak ada kesan-kesan sampingan yang serius yang dilaporkan dalam mana-mana kajian ini.
Keputusan untuk hasil yang dinilai dalam tinjauan ini adalah tidak pasti dan tidak ada kesimpulan yang tegas boleh dibuat tentang keberkesanan dan keselamatan pemakanan enteral untuk mengekalkan remisi dalam penyakit Crohn. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan penggunaan pemakanan enteral sebagai terapi pengekalan dalam penyakit Crohn. Kini, terdapat empat kajian yang sedang berlangsung (anggaran kemasukan 280 peserta). Ulasan ini akan dikemas kini apabila keputusan kajian-kajian ini tersedia.
Diterjemah oleh Nur Maziah Hanum Binti Osman (Pelajar pascasiswazah UPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my