Adakah prostaglandin (ubat yang diberikan untuk melindungi hati) merupakan rawatan yang berguna untuk orang dewasa yang telah menjalani pembedahan pemindahan hati?
Mesej utama
Bagi orang dewasa yang telah menjalani pembedahan pemindahan hati, prostaglandin boleh mengurangkan kematian daripada sebarang sebab, dalam tempoh sehingga satu bulan selepas pembedahan, berbanding plasebo (rawatan palsu) atau penjagaan standard. Prostaglandin mungkin boleh mengurangkan kegagalan buah pinggang akut yang memerlukan dialisis.
Prostaglandin mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian buruk yang serius (kesan sampingan), dan kami tidak mengetahui kesan prostaglandin terhadap kejadian buruk yang tidak serius.
Mengemaskini ulasan ini dengan lebih lanjut, berdasarkan kajian masa depan, mungkin dapat membantu dalam mencapai kesimpulan lebih tertentu tentang prostaglandin.
Apakah pemindahan hati?
Rawatan untuk penyakit hati lanjut dan kegagalan hati adalah pemindahan hati. Ia melibatkan menggantikan hati yang berpenyakit dengan hati yang baru dan sihat.
Apakah prostaglandin?
Prostaglandin ialah ubat yang boleh membantu dalam fungsi segera hati baru. Prostaglandin juga dihasilkan oleh badan dan meningkatkan bekalan darah ke hati dan buah pinggang.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui adakah prostaglandin rawatan yang berguna selepas pemindahan hati dan jika ia menyebabkan sebarang kesan sampingan jika dibandingkan dengan plasebo atau penjagaan biasa.
Kami melihat kepada hasil berikut: kematian akibat sebarang sebab sehingga satu bulan selepas rawatan; sebarang kesan sampingan; kesan kepada kualiti hidup; sama ada keperluan untuk pemindahan semula dikurangkan; sama ada hati yang lemah atau tidak berfungsi awal berkurang; sama ada kecederaan buah pinggang awal yang memerlukan dialisis dikurangkan; serta sama ada tempoh penginapan hospital dikurangkan.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian terhadap prostaglandin yang digunakan untuk merawat orang dewasa yang telah menerima pemindahan hati berbanding plasebo atau penjagaan standard. Peserta boleh terdiri daripada mana-mana jantina atau etnik.
Kami membandingkan keputusan kajian dan menilai mereka, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menjumpai 11 kajian dengan 771 peserta. Daripada jumlah ini, 378 peserta diberi prostaglandin. Semua kecuali satu kajian berlaku di negara berpendapatan tinggi dan sederhana atas.
Keputusan utama
Kematian dari sebarang sebab
Prostaglandin mungkin mengurangkan kematian dari sebarang sebab (11 kajian, 771 orang). Dalam 1000 orang, kami menjangkakan kurang daripada 21 orang akan mati dengan prostaglandin berbanding penjagaan standard atau plasebo.
Adakah orang menjadi lebih baik dengan prostaglandin?
- Prostaglandin mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam keperluan untuk pemindahan semula (6 kajian, 468 peserta).
- Prostaglandin mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada fungsi hati (1 kajian, 99 peserta).
- Prostaglandin mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada ketidakfungsian awal hati (7 kajian, 624 peserta).
- Prostaglandin mungkin menyebabkan pengurangan besar dalam kecederaan buah pinggang akut yang memerlukan dialisis (5 kajian, 477 peserta).
Adakah orang menjadi lebih teruk dengan prostaglandin?
Kami tidak menemui sebarang informasi untuk mencadangkan prostaglandin mengakibatkan kemudaratan.
Kualiti hidup
Tiada kajian melaporkan kualiti hidup.
Kesan yang tidak diingini
Kami tidak menemui informasi untuk mencadangkan prostaglandin mengakibatkan kemudaratan.
Apakah batasan bukti?
Bukti kami adalah terhad kerana kajian-kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur dan merekodkan hasil mereka, dan kami tidak menemui kajian untuk beberapa hasil yang kami minati. Selain itu, keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah untuk semua hasil kecuali kejadian buruk serius yang dianggap tidak serius, yang mana keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Keyakinan yang rendah dan sangat rendah terhadap bukti bermakna ketidakpastian terhadap keputusan yang diperolehi, serta apabila kajian lanjut dilakukan dan data ditambah, keputusan akan berubah lagi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 27 Disember 2022.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my