Teknik, strategi dan reka bentuk kateter berselang-seli untuk menguruskan keadaan pundi kencing jangka panjang

Soalan ulasan

Terdapat teknik kateterisasi yang berbeza, strategi dan reka bentuk kateter yang boleh mempengaruhi jangkitan saluran kencing bergejala (UTI; jangkitan pundi kencing yang dikesan melalui ujian air kencing di mana seseorang mempunyai gejala jangkitan), komplikasi lain dan pilihan pengguna.

Dalam ulasan ini, kami menumpukan pada hasil-hasil ini pada orang yang menggunakan teknik kateterisasi aseptik atau bersih, kateter sekali guna atau pelbagai guna dan reka bentuk kateter yang berbeza (contohnya bersalut atau tidak bersalut, kepanjangan yang standard atau padat) untuk menentukan sama ada salah satu pendekatan atau reka bentuk adalah lebih baik daripada yang lain.

Latar belakang

Kateterisasi berselang-seli adalah strategi yang biasa digunakan oleh orang yang mempunyai masalah pengosongan pundi kencing. Tiub berongga (kateter) dimasukkan melalui saluran ke pundi kencing (uretra) atau melalui saluran yang dibuat secara pembedahan ke permukaan kulit. Kateter dikosongkan dengan kerap, biasanya beberapa kali sehari. Kateterisasi berselang-seli boleh dilakukan oleh profesional penjagaan kesihatan atau oleh individu (atau penjaga) itu sendiri. Terdapat pelbagai pendekatan untuk kateterisasi berselang-seli yang boleh memberikan impak terhadap jangkitan, komplikasi lain dan pengalaman pengguna.

Terdapat empat jenis intervensi utama yang dipertimbangkan dalam ulasan ini yang mungkin memberikan perbezaan kepada pengguna atau kos.

Teknik: Aseptik berbanding bersih

'Teknik aseptik' digunakan dalam tetapan penjagaan kesihatan, dengan peralatan steril yang dibungkus khas (sarung tangan, pelincir dan kateter) dan teknik yang mengelakkan kateter daripada bersentuhan dengan apa-apa yang tidak steril (termasuk tangan, peralatan dan permukaan) sebelum ia dimasukkan. .

Individu yang memasukkan kateter mereka sendiri menggunakan teknik 'bersih', di mana persekitaran dijaga sebersih yang mungkin dan kateter steril atau bersih (beberapa kali guna) digunakan tanpa memerlukan sarung tangan.

Strategi: Sekali guna berbanding beberapa kali guna

Terdapat dua jenis penggunaan kateter: sekali guna dan beberapa kali guna. Penggunaan semula kateter bermakna kateter dibersihkan dan digunakan semula beberapa kali (contoh sehingga 24 jam atau selama satu minggu/bulan).

Reka bentuk: Tidak bersalut berbanding bersalut hidrofilik

Kateter tidak bersalut biasanya adalah PVC jernih dan dibungkus secara individu dalam pembungkusan steril. Ia mungkin dibekalkan pra-pelincir, atau digunakan dengan pelincir yang berasingan atau air untuk membantu pemasukan.

Kateter bersalut hidrofilik mempunyai salutan licin dan dibekalkan sama ada sedia untuk digunakan, atau memerlukan penambahan air.

Reka bentuk: Lebih pendek berbanding kepanjangan standard

Kateter datang dalam pelbagai saiz dan ukuran untuk disesuaikan dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak, serta keperluan individu yang berbeza.

Adakah ulasan ini muktahir?

Kami mencari bukti yang telah diterbitkan sehingga 12 April 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 23 kajian (yang melibatkan seramai 1339 kanak-kanak dan orang dewasa yang menggunakan kateterisasi berselang-seli untuk pengosongan pundi kencing) yang membandingkan teknik kateterisasi dan reka bentuk kateter yang berbeza.

Keputusan utama

Teknik aseptik berbanding teknik bersih

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan antara teknik aseptik dan teknik bersih dalam risiko UTI bergejala. Kami tidak mengenalpasti data berkaitan risiko kejadian buruk.

Kateter sekali guna (steril) berbanding beberapa kali guna (bersih)

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan antara kateter sekali guna dan beberapa kali guna dalam risiko UTI bergejala kerana kepastian bukti adalah rendah. Satu kajian yang membandingkan intervensi ini melaporkan sifar kesan buruk dalam mana-mana kumpulan dan tiada data kesan buruk yang lain dilaporkan.

Kateter bersalut hidrofilik berbanding kateter tidak bersalut

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan antara kateter hidrofilik dan tidak bersalut dalam bilangan individu yang mengalami UTI bergejala. Kateter tidak bersalut mungkin mengurangkan sedikit risiko trauma uretra dan pendarahan berbanding kateter bersalut hidrofilik. Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan dalam kepuasan atau pilihan pesakit.

Panjang satu kateter berbanding panjang kateter yang lain

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan antara panjang satu kateter berbanding panjang kateter yang lain untuk semua hasil yang disertakan.

Kami tidak mengenalpasti bukti yang boleh digunakan berkaitan keberkesanan kos untuk mana-mana perbandingan.

Kepastian bukti

Bukti penyelidikan semasa adalah tidak pasti dan isu bagi reka bentuk dan pelaporan adalah signifikan. Terdapat banyak faktor yang boleh mengehadkan generalisasi penemuan, contohnya, tetapan kajian (contohnya hospital atau rumah), jantina peserta, kepelbagaian dalam pematuhan kepada arahan untuk pengguna dan sama ada kateterisasi dilakukan oleh pengguna atau orang lain. Lebih banyak kajian yang direka dengan baik adalah diperlukan. Kajian sedemikian harus merangkumi analisis keberkesanan kos kerana kemungkinan besar terdapat perbezaan yang besar berkaitan dengan penggunaan reka bentuk kateter, teknik dan strategi kateterisasi yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information