Cara untuk berkomunikasi kepada seorang wanita bahawa dia mempunyai kanser payudara

Bagi wanita menunggu dan menerima diagnosis pertama kanser payudara (diagnosis primer) adalah pengalaman yang sangat tertekan. Kajian yang dilakukan sehingga kini mencadangkan apa yang diberitahu kepada wanita pada ketika ini berpotensi mempengaruhi kesejahteraannya, cara dia mengatasi berita itu, berapa banyak yang diingat daripada yang dibincangkan (ingat kembali) dan tahap keseluruhan kepuasan dengan pertemuan itu.
Diagnosis kanser payudara yang disahkan boleh disampaikan dalam pelbagai cara, termasuk konsultasi bersemuka, konsultasi telefon, bahan bertulis atau audiovisual. Maklumat ini boleh diberi oleh pelbagai profesional kesihatan, seperti pengamal am atau pakar.

Ulasan sistematik ini berhasrat untuk menilai keberkesanan pelbagai kaedah untuk menyampaikan diagnosis pertama kanser payudara yang disahkan. Ulasan ini khususnya berminat tentang bagaimana ia mengimpak apa yang diingat oleh pesakit, kepuasan dengan maklumat yang diterima, strategi mengatasi yang diguna sebagai hasil daripada maklumat yang diberi dan impak menerima maklumat mengenai kualiti hidup pesakit tersebut. Penulis ulasan membuat carian teliti kesusasteraan perubatan untuk mencari kajian terkawal di mana wanita menerima diagnosis pertama kanser payudara dipilih secara rawak kepada kumpulan intervensi. Mereka memperoleh 23 laporan asal kajian untuk ulasan lanjut tetapi akhirnya tiada kajian yang boleh dimasukkan. Beberapa kajian memfokuskan komunikasi pada perundingan rawatan pertama dan bukan kaedah penyampaian diagnosis. Di kawasan yang sensitif secara etika, penulis mencadangkan ulasan yang memfokuskan kepada pelbagai kaedah komunikasi pada lawatan perundingan pertama boleh memberi maklumat yang berguna mengenai kaedah mana yang lebih berkesan dan bermanfaat untuk kumpulan pesakit ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information