Pioglitazone untuk diabetes mellitus jenis 2

Penyakit jantung dan saluran darah adalah faktor yang menyebabkan kira-kira 70% daripada semua kematian dalam kalangan pesakit kencing manis. Berbanding dengan orang yang tidak menghidapi kencing manis, risiko kematian relatif yang disebabkan oleh gangguan jantung dan saluran darah adalah dua hingga tiga untuk lelaki dan tiga hingga empat untuk wanita dengan diabetes. Kencing manis jenis 2 mempunyai ciri-ciri utama iaitu pengurangan dalam keupayaan hormon insulin untuk merangsang pengambilan glukosa dalam lemak badan dan otot (rintangan insulin) dan memberi kesan kepada kebanyakan orang yang menghidap kencing manis. Beberapa ubat berada di pasaran untuk merawat kencing manis, antaranya pioglitazone yang merupakan salah satu 'glitazones' yang boleh mengurangkan risiko untuk penyakit jantung dan saluran darah. Oleh sebab dua ujian terbesar pada orang dengan kencing manis jenis 2 menunjukkan bahawa gula darah yang lebih baik sahaja tidak cukup untuk mengurangkan risiko penyakit yang dinyatakan di atas, kami mencari kajian jangka panjang selama 24 minggu sebagai tempoh minimum bagi rawatan pioglitazone untuk mengkaji kesan-kesan yang berorientasikan pesakit. Definisi kesan berorientasikan pesakit adalah kematian, komplikasi kencing manis, kesan sampingan ubat, kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan, kos dan kawalan metabolik (menurunkan glukosa darah ke tahap normal terdekat).
Dua puluh dua ujian memilih kira-kira 6200 orang untuk rawatan pioglitazone secara rawak. Tempoh paling lama bagi terapi pioglitazone adalah 34.5 bulan. Malangnya, kajian yang diterbitkan bagi rawatan pioglitazone pada orang dengan diabetes mellitus jenis 2 yang dijalankan sekurang-kurangnya 24 minggu tidak memberikan bukti yang meyakinkan bahawa kesan berorientasikan pesakit adalah dipengaruhi dengan positif oleh ubat ini. . Edema juga berlaku dengan lebih kerap secara ketara. Keputusan satu ujian dengan titik hujung yang relevan (Prospective Pioglitazone Clinical Trial In Macrovascular Events - PROactive study) perlu disahkan oleh siasatan bebas yang lain. Sehingga bukti baru diperolehi (beberapa ujian besar sedang dijalankan) penggunaan pioglitazone dalam rawatan diabetes mellitus jenis 2 masih tidak jelas.
Tambahan pula, kekeliruan timbul kerana label pioglitazone yang berbeza sebagai contoh di Eropah dan Amerika Syarikat. Pengguna dan pakar perubatan memerlukan panduan yang jelas dan maklumat telus mengenai kajian tepat yang digunakan oleh pihak berkuasa dadah dalam membuat keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information