Soalan ulasan: Apakah kesan amalan berulang tugas berfungsi ke atas pemulihan selepas strok jika dibandingkan dengan rawatan biasa atau rawatan plasebo?
Latar belakang: Strok boleh mengakibatkan masalah pergerakan, selalunya ke bawah sebelah badan. Walaupun sebahagian pemulihan adalah biasa selepas strok berlaku, kira-kira satu pertiga daripada orang mempunyai masalah yang berterusan. Amalan tugas fungsional yang berulang (cth mengangkat cawan) adalah pendekatan rawatan yang digunakan untuk membantu pemulihan pergerakan selepas strok. Pendekatan ini adalah berdasarkan idea mudah bahawa untuk meningkatkan keupayaan kita melaksanakan tugasan, kita perlu berlatih melakukan tugasan itu berkali-kali, seperti ketika kita mula-mula belajar menulis. Jenis amalan yang dilakukan oleh pesakit dan masa yang mereka luangkan untuk membuat latihan tersebut boleh memberi kesan kepada keberkesanan rawatan. Untuk meneroka perkara ini dengan lebih lanjut, kami juga melihat aspek berbeza amalan berulang yang mungkin mempengaruhi keberkesanan amalan tersebut.
Ciri-ciri kajian: Kami telah mengenal pasti 33 kajian yang dengan 1853 peserta. Kajian merangkumi pelbagai tugas untuk berlatih, termasuk mengangkat bola, berjalan, berdiri dari duduk dan latihan litar dengan tugas yang berbeza di setiap stesen. Bukti adalah terkini hingga Jun 2016.
Keputusan utama: Berbanding dengan penjagaan biasa (fisioterapi standard) atau kumpulan plasebo, orang yang mengamalkan tugas berfungsi menunjukkan peningkatan kecil dalam fungsi lengan, fungsi tangan, jarak berjalan kaki dan ukuran keupayaan berjalan. Peningkatan dalam fungsi lengan dan kaki dikekalkan sehingga enam bulan kemudian. Tiada bukti yang mencukupi untuk memastikan tentang risiko kejadian buruk, contohnya jatuh. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk menentukan jenis amalan tugasan yang terbaik, dan sama ada amalan yang berterusan boleh menunjukkan hasil yang lebih baik.
Kualiti bukti: Kami telah mengklasifikasikan kualiti bukti sebagai rendah untuk fungsi lengan, fungsi tangan dan ukuran fungsi anggota bawah, dan sebagai sederhana untuk jarak berjalan kaki dan ambulasi berfungsi. Kualiti bukti bagi setiap hasil adalah terhad disebabkan pelaporan yang lemah bagi butiran kajian (terutamanya dalam kajian terdahulu), keputusan yang tidak konsisten merentas kajian dan bilangan peserta kajian yang kecil dalam beberapa perbandingan.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).