Apakah matlamat ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan untuk merawat pesakit dengan kolitis amebic, iaitu jangkitan usus besar yang disebab oleh Entamoeba histolytica, sejenis parasit. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati terdapat 41 kajian yang berkaitan dalam ulasan ini.
Mesej-mesej utama
Tinidazole mungkin lebih berkesan berbanding dengan metronidazole dalam mengurangkan simptom klinikal dan berkait dengan kurang peristiwa buruk. Terapi kombinasi kurang mengakibatkan kegagalan parasitologi berbanding dengan metronidazole sahaja. Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan ubat antiamebic lain. Lebih kajian rawak yang berkualiti dengan kaedah diagnostik yang tepat dan hasil piawaian diperlukan untuk menilai keberkesanan ubat-ubatan untuk merawat kolitis amoebic.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Entamoeba histolytica ini didapati di seluruh dunia dan biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar. Dianggarkan bahawa kira-kira 40 hingga 50 juta orang yang dijangkiti E. histolytica mengalami kolitis amoebic atau nanah extraintestinal, yang menyebabkan sehingga 100,000 kematian setiap tahun.
Metronidazole kini merupakan terapi standad untuk merawat amoebiasis invasif dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak, akan tetapi ia mungkin tidak mencukupi untuk menghapuskan sista parasit dalam usus. Beberapa peristiwa buruk yang berkaitan dengan metronidazole dalam sesetengah pesakit, dan kemungkinan rintangan parasit terhadap metronidazole juga perlu dipertimbangkan untuk membuat ubat-ubatan alternatif. Kombinasi metronidazole dengan ubat-ubatan lain yang dapat membasmi sista parasit dalam usus telah disyorkan, jadi bukti yang menyokong pendekatan ini perlu ditafsirkan.
Ulasan ini membandingkan ubat-ubatan berbeza yang digunakan terhadap kolitis amoebic, secara bersendirian atau dalam kombinasi, dan juga menilai rejimen satu dos berbanding rejimen yang lebih panjang.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan?
Ulasan ini melibatkan 41 kajian yang kebanyakannya dijalankan di negara-nagara yang dianggap endemik untuk amoebiasis. Kebanyakan kajian adalah lama: 30 dijalankan sebelum 1998. Kajian-kajian ini berbeza dalam kriteria inklusi yang digunakan untuk mendaftar peserta, dalam definasi dan masa hasil yang diukur. Mikroscopi najis dengan smear saline langsung adalah kaedah yang paling kerap diguna untuk mengesan E histolytica dalam najis Peserta kajian berumur antara 7 bulan sehingga 80 tahun. Kajian yang terlibat melaporkan pelbagai jenis perbandingan dan 25 jenis ubat-ubatan, 2 produk herba dan 15 kombinasi berlainan.
Ulasan ini menunjukkan bahawa dalam pesakit dengan kolitis amoebic, tinidazole mungkin lebih baik dalam mengurangkan simptom klinikal (bukti kepastian rendah) dan juga lebih kurang peristiwa buruk jika dibandingkan dengan metronidazole (bukti kepastian sederhana) Akan tetapi, kami tidak pasti sama ada tinidazole lebih efektif dalam membasmi amoebae dari najis. Terapi ubat kombinasi lebih efektif berbanding dengan metronidazole secara bersendirian dalam membasmi amoeba (bukti kepastian rendah), tetapi kami tidak pasti kombinasi ubat yang mana paling efektif, dan sama ada rawatan kombinasi dapat membawa kepada penyelesaian yang lebih cepat untuk simptom klinikal atau peristiwa buruk (bukti kepastian sangat rendah) Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan ubat antiamebic lain.
Adakah ulasan ini terkini?
Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 22 Mac 2018.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.