Mesej utama
· Varenicline boleh membantu orang ramai untuk berhenti merokok untuk tempoh sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Bukti menunjukkan bahawa ubat ini berfungsi dengan lebih baik daripada bupropion dan hanya menggunakan satu jenis terapi penggantian nikotin sahaja (contohnya hanya jenis tampalan). Kadar berhenti merokok berkemungkinan sama seperti penggunaan lebih daripada satu jenis terapi penggantian nikotin pada masa yang sama (contohnya jenis tampalan dan gula-gula getah).
· Cytisine boleh membantu orang ramai berhenti merokok untuk tempoh sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Ia mungkin berfungsi seperti varenicline, tetapi bukti masa hadapan mungkin menunjukkan bahawa ianya tidak seberkesan dengan varenicline.
· Kajian masa hadapan harus menguji keberkesanan dan keselamatan cytisine berbanding dengan varenicline dan ubatan berhenti merokok yang lain, dan juga harus menyiasat pemberian cytisine atau varenicline pada dos dan jangka masa yang berbeza.
Apakah ‘agonis separa reseptor nikotin'?
Aktiviti menghisap tembakau amat tidak baik untuk kesihatan manusia. Bagi individu yang merokok, berhenti merokok merupakan perkara terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesihatan mereka. Ramai yang mendapati bahawa sangat sukar untuk berhenti merokok. Agonis separa reseptor nikotin (NRPA) merupakan sejenis ubatan yang digunakan untuk membantu orang ramai untuk berhenti merokok. Ubatan ini membantu para perokok mengurangkan simptom ketagihan yang dialami apabila mereka berhenti merokok seperti mengidam dan perubahan emosi yang tidak menyenangkan. Ubatan ini juga mengurangkan keseronokan yang biasanya dialami apabila mereka merokok. Rawatan sedia ada yang paling banyak bagi jenis ubat ini ialah varenicline. Cytisine juga merupakan ubatan daripada jenis yang sama. Ubatan ini mungkin menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti rasa mual (loya) dan gangguan pada perut yang lain, kesukaran untuk tidur, mengalami mimpi yang tidak normal dan sakit kepala. Ubatan ini juga berpotensi mengakibatkan kesan tidak diingini yang serius seperti keinginan untuk membunuh diri, masalah jantung dan peningkatan tekanan darah.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya penggunaan NRPA boleh membantu orang ramai untuk berhenti merokok dan menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami ingin mengetahui:
· bilangan orang yang berhenti merokok sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan; dan
· bilangan orang yang mengalami kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami membuat carian terhadap kajian yang menyiasat NRPA yang digunakan untuk membantu orang ramai untuk berhenti merokok. Individu dalam kajian perlu dipilih secara rawak untuk menerima NRPA atau NRPA jenis lain, plasebo (ubatan seperti NRPA tetapi tanpa bahan aktif) atau tanpa rawatan. Mereka perlulah terdiri daripada kalangan perokok dewasa yang ingin berhenti merokok.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 75 buah kajian yang membandingkan NRPA dengan:
· plasebo atau tanpa ubatan;
· terapi penggantian nikotin seperti tampalan atau gula-gula getah;
· bupropion (ubatan lain yang membantu orang ramai untuk berhenti merokok);
· NRPA lain;
· e-rokok.
Amerika Syarikat menjalankan kajian yang paling banyak (28 buah kajian). Kajian lain dijalankan di negara lain merentasi seluruh dunia.
Keputusan utama
Individu yang mengambil varenicline lebih cenderung untuk berhenti merokok untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan berbanding dengan plasebo (41 kajian, 17,395 orang), bupropion (9 kajian, 7560 orang), atau hanya sejenis terapi penggantian nikotin seperti tampalan (11 kajian, 7572 orang). Mereka berkemungkinan untuk berhenti merokok sama seperti individu yang menggunakan dua atau lebih jenis terapi penggantian nikotin seperti tampalan dan gula-gula getah (5 buah kajian, 2344 orang).
Cytisine mungkin membantu lebih ramai orang ramai berhenti merokok berbanding dengan plasebo (4 kajian, 4623 orang) dan mungkin sama berkesan seperti varenicline (2 kajian, 2131 orang).
Bagi setiap 100 individu yang menggunakan varenicline untuk berhenti merokok, 21 sehingga 25 individu mungkin berjaya berhenti berbanding dengan hanya 18 daripada 100 individu yang menggunakan bupropion, 18 daripada 100 individu yang menggunakan terapi penggantian nikotin tunggal dan 20 daripada 100 individu yang menggunakan dua atau lebih jenis terapi penggantian nikotin. Bagi setiap 100 individu yang menggunakan cytisine untuk berhenti merokok, 18 sehingga 23 individu mungkin berjaya berhenti.
Kesan tidak diingini yang paling biasa bagi varenicline ialah loya tetapi kebanyakan kesannya adalah pada tahap ringan atau sederhana dan biasanya hilang selepas beberapa ketika. Individu yang mengambil varenicline berkemungkinan besar mendapat kesan tidak diingini yang lebih serius yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital, namun keadaan ini jarang berlaku (2.7% sehingga 4% individu yang menggunakan varenicline berbanding dengan 2.7% individu yang tidak menggunakan varenicline) dan mungkin termasuk dengan terapi yang tidak berkaitan dengan varenicline. Individu yang mengambil cytisine juga berisiko rendah mengalami kesan tidak diingini yang serius berbanding dengan individu yang tidak mengambilnya tetapi kemungkinan untuk kesan ini adalah kurang berbanding dengan varenicline.
Apakah batasan bukti?
Bukti untuk beberapa keputusan kami sangat boleh dipercayai. Kami sangat yakin bahawa varenicline membantu orang ramai untuk berhenti merokok dengan lebih baik berbanding kebanyakan alternatif lain. Kami kurang pasti dengan beberapa keputusan lain berikutan bukti yang diberikan adalah daripada bilangan kajian yang sedikit atau saiz kajian yang kecil.
Beberapa keputusan kajian mencadangkan bahawa rawatan tunggal adalah lebih baik atau kurang mudarat berbanding dengan yang lain, tetapi keadaan sebaliknya masih boleh berlaku.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 29 April 2022.
Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my