Antibiotik bagi merawat sindrom dada akut dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan dan keselamatan antibiotik (bersendirian atau dalam kombinasi) berbanding antibiotik lain, plasebo (rawatan tiruan) atau rawatan standard. Kami ingin tahu jika pelbagai rawatan antibiotik berkesan, jika ianya selamat, dan dos yang terbaik untuk merawat sindrom dada akut dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu.

Latar belakang

Penyakit sel sabit mempengaruhi berjuta-juta orang di serata dunia. Sindrom dada akut adalah sebab utama penyakit dan kematian dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit. Simptom termasuk demam, sakit dada dan peningkatan kiraan sel darah putih. Jangkitan akut tisu paru-paru adalah sebab utama sindrom dada akut. Antibiotik sering diberi untuk merawat jangkitan paru-paru, tetapi tiada rawatan yang standard di seluruh dunia.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 10 Julai 2019.

Ciri-ciri kajian

Kemas kini ini tidak menemui sebarang kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Keputusan-keputusan utama

Walaupun kami menyimpulan kajian rawak terkawal harus dilaksanakan bagi menjawab soalan-soalan ini, kami tidak fikir kajian lanjutan intervensi ini akan dilaksanakan, oleh itu ulasan ini tidak akan dikemas kini secara regular. Sehingga terdapat bukti kukuh, klinisian perlu merawat sindrom dada akut bersandar kepada kes dan mengikut diagnosis dan rawatan sedia ada.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information