Piracetam untuk mengurangkan kejadian krisis penyakit sel sabit yang menyakitkan

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti untuk menilai keberkesanan piracetam untuk mengurangkan kejadian krisis penyakit sel sabit yang menyakitkan. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu.

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah salah satu gangguan genetik yang paling biasa dan menjejaskan kira-kira 250 juta orang (5% daripada populasi dunia). Ia dicirikan oleh sel darah merah berbentuk sabit yang boleh menyekat saluran darah. Ini boleh menyebabkan kesakitan dan kerosakan pada organ utama seperti otak, hati dan limpa. Penjagaan standard terutamanya menyokong dan sebagai tindak balas kepada gejala. Kesakitan dikawal dengan ubat untuk menghilangkan rasa sakit dan cecair untuk meningkatkan tahap cecair dalam badan. Kajian in vitro dengan piracetam menunjukkan bahawa ia menghalang ikatan hemoglobin sabit dan pengumpulan platelet bersama. Ia juga menjadikan darah kurang melekit dan sel darah merah lebih fleksibel.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 21 September 2015.

Keputusan utama

Pengarang ulasan ini telah mengenal pasti tiga kajian, dua daripadanya mempunyai reka bentuk silang. Kualiti kajian-kajian tersebut adalah rendah. Terdapat banyak perbezaan dalam orang yang mengambil bahagian, dos ubat dan hasil yang diukur. Tiga kajian telah disertakan. Mereka memberikan beberapa bukti yang lemah dan tidak boleh dipercayai bahawa piracetam mencegah krisis sel sabit yang menyakitkan. Kekurangan bukti yang boleh dipercayai menggambarkan keraguan dan kekurangan sokongan untuk penggunaan rutin rawatan ini untuk mengurangkan kejadian krisis penyakit sel sabit yang menyakitkan. Pengarang ulasan ini menyimpulkan bahawa penyelidikan masa depan harus bertujuan untuk memberikan bukti bagi orang membuat keputusan yang tepat mengenai sama ada piracetam adalah berguna. Kajian rawak terkawal yang selanjutnya harus dirancang dengan baik dan dilaporkan berdasarkan kepada kenyataan 'Consolidated Standards of Reporting Trials (CONSORT)'.

Kami akan terus menjalankan carian untuk mengenal pasti sebarang kajian berpotensi yang relevan; namun, kami tidak merancang untuk mengemas kini bahagian lain ulasan sehingga kajian baru diterbitkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information