Apakah isunya?
Rawatan untuk CIN sering dibuat di klinik kolposkopi pesakit luar untuk mengeluarkan sel-sel pra-kanser dari serviks (bahagian bawah rahim). Ia lazim melibatkan mengangkat sel dari serviks dengan wayar yang dipanaskan secara elektrik (diathermy) atau laser, atau memusnahkan sel-sel abnormal dengan kaedah pembekuan (krioterapi). Prosedur ini berpotensi menyakitkan.
Matlamat ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan pelegaan sakit mana, jika ada, patut diguna semasa rawatan kolposkopi serviks.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mengenal pasti 19 kajian klinikal sehingga Mac 2016 dan ia melaporkan pelbagai bentuk pelegaan sakit sebelum, semasa dan selepas kolposkopi. Bukti dari dua kajian kecil menunjukkan wanita yang menjalani rawatan kolposkopi mengalami kurang sakit dan kurang kehilangan darah jika serviks disuntik dengan kombinasi ubat anestetik setempat dan ubat yang mencerut saluran darah (sempit), berbanding plasebo (rawatan palsu). Walaupun mengambil ubat pelega sakit oral (misalnya ibuprofen) sebelum rawatan pada serviks di klinik kolposkopi disyorkan oleh kebanyakan garis panduan, bukti dari dua kajian kecil tidak menunjukkan amalan ini mengurangkan sakit semasa prosedur.
Kualiti bukti
Kebanyakan bukti berkualiti rendah hingga sederhana dan penyelidikan lanjut boleh mengubah penemuan ini.
Tambahan juga, kami tidak mendapat bukti tentang berapa banyak anestetik setempat atau kaedah pemberian anestetik setempat ke dalam serviks.
Apakah kesimpulannya?
Terdapat keperluan untuk kajian berkualiti tinggi dengan jumlah wanita yang cukup untuk menyediakan data yang perlu untuk menentukan pelega sakit yang patut diguna semasa rawatan kolposkopi pesakit luar.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my