Latar belakang
Orang yang mengalami kecederaan otak traumatik sering mempunyai tahap kecergasan di bawah tahap kecergasan paling rendah orang dewasa dengan umur dan jantina yang sama. Penurunan kecergasan menyebabkan peningkatan keletihan, yang menjadikan aktiviti seharian lebih sukar dilakukan. Pakar kesihatan menggunakan latihan kecergasan untuk menangani masalah ini. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2008, yang bertujuan untuk menilai seberapa berkesan latihan kecergasan dalam meningkatkan kecergasan, hasil-hasil yang lain seperti kemurungan, kognisi (seperti ingatan, perhatian dan penyelesaian masalah) dan kembali kepada aktiviti seharian.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian pada Ogos 2017. Kami menyertakan lapan kajian, melibatkan 399 orang dewasa dengan kecederaan otak traumatik, dalam ulasan ini. Kebanyakan peserta kajian adalah lelaki dalam pertengahan tiga puluhan yang mengalami kecederaan otak yang teruk. Kami tidak menemui kajian yang menyertakan kanak-kanak. Program latihan kecergasan dijalankan dalam pelbagai persekitaran termasuk hospital, komuniti dan di rumah. Dalam enam daripada lapan kajian semua sesi latihan kecergasan adalah diselia. Jenis latihan kecergasan adalah pelbagai, dan termasuk senaman mesin berbasikal tetap, dalam air, peralatan gim seperti sawat injak, senaman di rumah, dan kumpulan kecergasan dalam tentera. Dalam enam daripada lapan kajian intensiti, tempoh dan kekerapan latihan kecergasan yang diberikan memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kolej Perubatan Sukan Amerika.
Keputusan utama
Tiga daripada lapan kajian, dengan 67 peserta, menilai perubahan kecergasan pada akhir program rawatan. Senaman dijalankan menggunakan mesin berbasikal tetap dalam dua kajian, dan dalam air dalam kajian ketiga, dan semua sesi adalah diselia. Latihan kecergasan tersebut dibandingkan dengan intervensi bukan senaman dalam dua kajian ini, dan dengan tiada intervensi dalam kajian ketiga. Kami menggabungkan keputusan tiga kajian ini, yang menunjukkan purata (min) peningkatan 35 watt dalam ujian senaman bagi kumpulan latihan kecergasan berbanding dengan kumpulan intervensi bukan senaman dan tiada intervensi. Peningkatan ini mewakili kira-kira 36% peningkatan kecergasan dari permulaan kajian, yang merupakan kesan yang besar. Walau bagaimanapun, anggaran ini adalah tidak pasti dan perbezaan tersebut berkemungkinan di antara 3 ke 68 watt, yang mungkin penting secara klinikal atau tidak.
Lebih daripada satu kajian melaporkan enam hasil yang lain; komposisi badan, kekuatan, keletihan, kemurungan, kualiti hidup dan berjalan. Adalah tidak jelas sama ada latihan kecergasan lebih baik atau buruk daripada intervensi bukan senaman atau tiada intervensi dalam menambah baik hasil-hasil ini. Pengukuran kognisi, aktiviti kehidupan harian, dan kembali ke aktiviti seharian hanya diukur dalam satu kajian, dan tiada kajian yang mengukur kesan latihan kecergasan terhadap tahap aktiviti fizikal dan motivasi. Hanya tiga kajian mengkaji kesan latihan kecergasan selepas program berakhir, tetapi mereka tidak dapat memberikan jawapan yang jelas mengenai kesan jangka panjang latihan kecergasan.
Dalam lima kajian yang menyediakan penyeliaan untuk semua sesi latihan kecergasan, semua peserta dalam kumpulan latihan kecergasan melengkapkan kajian. Kehadiran rawatan berbeza di antara kajian, dan dilaporkan antara 59% ke 100%, dan tidak dilaporkan dalam dua kajian. Tiada bukti kemudaratan disebabkan oleh latihan kecergasan dalam sebarang kajian.
Kualiti bukti
Keyakinan kami dalam penemuan-penemuan ini berkurang kerana bukti berkualiti rendah disebabkan jumlah peserta kajian yang kecil, pelaporan yang lemah bagi beberapa butiran kajian, dan kemungkinan kesilapan dalam cara beberapa kajian tersebbut dijalankan.
Kesimpulan penulis
Adalah tidak jelas sama ada latihan kecergasan selepas kecederaan otak traumatik meningkatkan kecergasan fizikal. Bukti tidak mencukupi untuk memahami kesan latihan kecergasan terhadap hasil-hasil lain yang penting. Walaupun latihan kecergasan kelihatan mempunyai kehadiran yang baik oleh orang dengan kecederaan otak traumatik, terutamanya apabila diselia, dan tiada bukti kemudaratan, kajian lebih lanjut yang dirancang dengan lebih baik diperlukan sebelum kami dapat membuat sebarang kesimpulan yang tetap. Tanpa bukti berkualiti tinggi, pakar kesihatan boleh berpandukan senarai semak saringan pra-senaman untuk memastikan orang dengan kecederaan otak traumatik selamat untuk bersenam, dan untuk menetapkan parameter latihan menggunakan garis panduan yang diwujudkan oleh Kolej Perubatan Sukan Amerika untuk orang yang mengalami kecederaan otak.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rdcsiucd.edu.my