Tamponade dalam pembedahan untuk penanggalan retina yang berkaitan dengan vitreoretinopati proliferatif

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan sama ada bahan yang dipanggil agen tamponade yang digunakan untuk merawat penanggalan retina (RD) yang berkaitan dengan proliferatif vitreoretinopati (PVR) adalah selamat dan berkesan. PVR merujuk kepada pertumbuhan dan parut retina.

Mesej utama

Pemilihan agen tamponade harus dibuat secara individu bagi setiap pesakit. Penggunaan C3F8 (sejenis gas) atau minyak silikon standard nampaknya wajar. Minyak silikon berat, yang tidak tersedia untuk penggunaan klinikal rutin di Amerika Syarikat, tidak mempunyai kelebihan atau manfaat berbanding minyak silikon standard.

Apakah yang telah dikaji didalam ulasan ini?
Retina adalah tisu pengesan cahaya paling dalam di bahagian belakang mata (serupa dengan filem di dalam kamera), dan fungsi normalnya bergantung pada pelekatannya ke lapisan yang mendasarinya. RD adalah gangguan mata di mana retina secara fizikal berpisah dari lapisan tisu yang dibawahnya. Makula adalah bahagian paling tengah retina dan bertanggungjawab untuk penglihatan warna pusat yang resolusi tinggi. Pesakit dengan RD yang melibatkan makula biasanya mengalami kehilangan penglihatan yang lebih teruk daripada pesakit tanpa penanggalan makula yang berkaitan. RD umumnya dirawat dengan pembedahan, tetapi pembedahan tidak selalunya berjaya. Pada sesetengah pesakit, pembedahan pada mulanya berjaya tetapi RD mungkin berulang beberapa bulan atau tahun kemudian. Sebilangan besar RD berulang, dan beberapa RD primer, dikaitkan dengan pertumbuhan dan parut retina yang disebut proliferatif vitreoretinopati (PVR). Satu-satunya terapi yang terbukti untuk RD dengan PVR adalah pembedahan selanjutnya, di mana membran dikeluarkan dari permukaan retina dan agen tamponade disuntik ke dalam mata untuk menahan retina yang baru dipasang. Ejen tamponade utama yang ada sekarang adalah pelbagai gas dan minyak silikon. Tidak diketahui sama ada agen tamponade ini berkesan dan selamat.

Apakah keputusan utama ulasan?
Kami menemui empat kajian terkawal secara rawak dengan jumlah peserta 601 yang membandingkan pelbagai agen tamponade. Semua peserta menjalani pembedahan untuk merawat RD yang berkaitan dengan PVR.

Nampaknya tidak ada perbezaan besar antara C3F8 (sejenis gas) dan minyak silikon dari segi ketajaman penglihatan atau penyambungan retina ke makula, kawasan berbentuk bujur dekat pusat retina. Minyak silikon mungkin lebih baik daripada SF6 (jenis gas lain) untuk melekatkan retina ke makula dan hasil jangka pendek yang lain.

Sehingga bila ulasan ini dikemaskini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 2 Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information