Latar belakang
Urtikaria kronik spontan (CSU) adalah keadaan ruam merah gatal yang tebal dan timbul tanpa sebab yang boleh dikenalpasti. Nama-nama lain termasuklah urtikaria idiopatik atau urtikaria kronik biasa. ‘Spontan’ membezakan jenis urtikaria ini daripada urtikaria ‘teraruh’ atau ‘fizikal’, di mana terdapat pencetus-pencetus spesifik seperti selesema atau tekanan. ‘Kronik’ merujuk kepada keadaan tersebut berterusan selama sekurang-kurangnya enam minggu. Kegatalan boleh jadi teramat, dan berupa tidak menyenangkan dan menyebabkan distres kepada penghidap. Dalam sesetengah kes, kegatalan boleh disertai dengan bengkak yang lebih dalam, dikenali sebagai angio-edema, yang paling lazim berlaku di sekitar mata dan mulut.
Ubat antihistamin, khususnya H1 antihistamin, adalah rawatan utama bagi urtikaria, walaupun ia lebih kepada mengawal keadaan daripada merawatnya. Kebanyakan antihistamin tersedia untuk dibeli tanpa preskripsi, termasuklah nama jenama seperti Clarityn, Piriton, Zirtek, Benadryl dan Phenergan (nama jenama mungkin berbeza mengikut negara).
Soalan ulasan
H1-antihistamin manakah yang efektif dan selamat untuk CSU?
Ciri-ciri kajian
Kami sertakan 73 kajian rawak terkawal, dengan 9759 peserta semua peringkat umur dan mencari supresi lengkap bagi urtikaria. Tempoh intervensi adalah sehingga dua minggu (jangka pendek) atau lebih daripada dua minggu sehingga tiga bulan (jangka pertengahan).
Keputusan utama
Kami menyiasat kajian klinikal di mana satu terapi dibanding dengan yang lain atau dengan plasebo (perbandingan langsung). Kami dapati untuk kegunaan umum, cetirizine 10 mg sekali sehari untuk tempoh jangka pendek dan jangka pertengahan efektif bagi supresi lengkap urtikaria, walaupun tidak dalam kalangan semua individu. Beberapa manfaat dikaitkan dengan penggunaan desloratadine 5 mg untuk sekurang-kurangnya jangka pertengahan dan 20 mg untuk jangka pendek. Levocetirizine 5 mg berkesan untuk supresi lengkap urtikaria jangka pertengahan tetapi tidak dalam jangka pendek. Dos lebih tinggi iaitu 20 mg adalah efektif dalam jangka pendek, tetapi 10 mg tidak efektif.
Kejadian buruk seperti sakit kepala atau mulut kering, boleh diterima dalam kebanyakan antihistamin. Bukti adalah kurang jelas untuk memperbaik kualiti hidup (misalnya kurang gangguan tidur akibat gatal, kurang distres akibat rupa bentuk gatal) kerana kebanyakan kajian tidak menangani hal ini.
Kami tidak boleh simpulkan sama ada satu antihistamin itu lebih berkesan dari yang lain, kerana kami tiada bukti untuk setiap perbandingan rawatan yang munasabah.
Kualiti bukti
Kualiti bukti keseluruhan bagi kebanyakan hasil adalah rendah. Kajian lanjut dengan reka bentuk lebih baik dan laporan perbandingan yang lebih teliti diperlukan, jika ingin tahu sejauh mana ubat-ubatan ini berkesan, dan jika ada sebarang laporan kesan buruk, terutamanya yang melebihi tempoh sehingga beberapa bulan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Ibrahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).