Mesej utama
Peranti elektronik dan robotik serta fisioterapi membantu pesakit berjalan sendiri setelah mengalami strok. Ia mungkin membawa manfaat kepada pesakit dalam tiga bulan pertama selepas strok, dan juga kepada orang yang tidak dapat berjalan.
Kami perlukan lebih banyak penyelidikan untuk mengetahui seberapa kerap, dan berapa lama, peranti ini harus digunakan.
Apakah itu strok?
Strok berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terputus, menghalang bekalan oksigen dan nutrien ke sel-sel otak. Ini menyebabkan serangan kelemahan secara tiba-tiba yang biasanya menjejaskan sebelah badan. Jika bekalan darah ke otak dihentikan, sel-sel otak mula mati. Ini boleh menyebabkan kecederaan otak, kehilangan upaya, dan kemungkinan kematian.
Pesakit yang mengalami strok sering ditinggalkan dengan masalah jangka panjang yang disebabkan oleh kecederaan pada otak mereka. Mereka mungkin mendapati aktiviti fizikal, seperti berjalan, sukar kerana otot kaki yang lemah pada satu sisi badan mereka, sendi kaku, atau kekurangan koordinasi. Mereka mungkin memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, termasuk fisioterapi, sebelum mereka dapat pulih kepada keadaan kendiri sebelumnya. Fisioterapi merangkumi senaman, urutan, latihan kemahiran, dan rawatan elektrik untuk membantu pesakit mendapatkan kembali pergerakan.
Berjalan selepas strok
Meningkatkan berjalan kaki adalah salah satu tujuan utama pemulihan selepas strok. Peranti robotik (diprogramkan untuk bergerak dan melakukan tugas tertentu secara automatik) dan alat mekanikal yang dikendalikan secara elektrik (elektromekanik) telah dikembangkan untuk membantu pesakit meningkatkan gait (cara berjalan) mereka. Pesakit yang sukar berjalan memerlukan banyak latihan berjalan kaki.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Peranti latihan berjalan membolehkan pesakit yang tidak dapat berjalan untuk menjalani latihan berjalan secara intensif, tanpa memerlukan banyak sokongan fizikal dari ahli terapi mereka ketika mereka berlatih berjalan.
Kami ingin mengetahui jika alat latihan berjalan dapat membantu pesakit meningkatkan jalan kaki mereka setelah mengalami strok.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada penggunaan alat latihan berjalan untuk membantu pesakit belajar berjalan semula setelah mengalami strok. Kami berminat dengan:
• berapa ramai pesakit yang boleh berjalan sendiri;
• berapa cepat mereka boleh berjalan;
• sejauh mana mereka boleh berjalan dalam masa enam minit;
• berapa ramai pesakit yang menarik diri dari kajian; dan
• berapa ramai pesakit yang meninggal dunia.
Kami mencari kajian di mana rawatan yang diterima pesakit adalah ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan.
Carian tarikh: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Januari 2020.
Apakah yang telah kami temui
Kami menemui 62 kajian melibatkan 2440 orang dewasa (usia purata 47 hingga 76 tahun) yang mengalami strok dan belajar berjalan semula. Kesan fisioterapi ditambah dengan alat elektromekanik dan robotik untuk latihan berjalan dibandingkan dengan kesan fisioterapi sahaja atau rawatan biasa. Dalam kebanyakan kajian, tempoh latihan berlangsung sepanjang tiga hingga empat minggu; tempoh terpendek adalah 10 hari, dan terpanjang adalah lapan minggu .
Apakah keputusan ulasan kami?
Pada akhir latihan, dibandingkan dengan fisioterapi atau rawatan biasa, penggunaan alat latihan berjalan dan fisioterapi:
• membantu lebih ramai pesakit berjalan sendiri (38 kajian; 1567 pesakit);
• mungkin telah meningkatkan purata kelajuan pesakit berjalan (42 kajian; 1600 pesakit);
• mungkin tidak meningkatkan sejauh mana pesakit boleh berjalan dalam masa enam minit (24 kajian; 983 pesakit); dan
• mungkin tidak meningkatkan berapa ramai pesakit menarik diri dari kajian, atau berapa ramai pesakit yang meninggal dunia (62 kajian; 2440 pesakit).
Untuk setiap lapan pesakit yang dirawat dengan peranti dan fisioterapi, tambahan satu pesakit dapat berjalan sendiri pada akhir rawatan.
Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?
Kami yakin bahawa alat latihan berjalan dan fisioterapi membantu lebih ramai pesakit berjalan sendiri berbanding fisioterapi atau rawatan biasa sahaja. Keputusan ini mungkin tidak berubah dengan lebih banyak bukti.
Kami cukup yakin tentang kesan peranti ini ditambah dengan fisioterapi terhadap jarak berjalan kaki dalam enam minit, berapa ramai pesakit yang menarik diri dari kajian, dan berapa ramai yang meninggal dunia. Namun, keputusan ini mungkin berubah setelah lebih banyak bukti menjadi tersedia.
Kami kurang yakin mengenai kesan peranti ini terhadap kelajuan berjalan; keputusan ini kemungkinan akan berubah dengan lebih banyak bukti.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, class of 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my