Mobilisasi selepas strok yang sangat awal berbanding yang dilewatkan

Ulasan soalan
Adakah mobilisasi yang sangat awal dan aktif meningkatkan pemulihan selepas strok berbanding yang dilewatkan?

Latar belakang
Penjagaan di dalam unit strok adalah disyorkan kepada pengidap sebaik sahaja selepas strok, dan memberikan keputusan dalam menghasilkan peluang untuk hidup, pulang ke rumah, dan mendapatkan kebebasan hidup yang lebih baik. Mobilisasi yang sangat awal (membantu orang untuk bangun dari tidur dengan sangat awal, dan lebih kerap selepas bermulanya gejala strok) dilakukan dalam beberapa unit strok, dan disyorkan dalam banyak garis panduan klinikal strok akut. Walau bagaimanapun, kesan daripada mobilisasi yang sangat awal keatas pemulihan selepas strok adalah tidak jelas.

Tarikh carian
Ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2017.

Ciri-ciri Kajian
Ulasan ini mengenal pasti sembilan kajian (2958 peserta), walaupun satu kajian (2104 peserta) memberikan kebanyakan maklumat. Secara puratanya, para peserta dengan mobilisasi yang sangat awal memulakan mobilisasi 18.5 jam selepas strok, berbanding 33.3 jam dalam kumpulan penjagaan biasa. Dalam lima ujian, kumpulan mobilisasi yang sangat awal juga telah menghabiskan lebih banyak masa setiap hari dengan terapi, atau mengambil bahagian dalam aktiviti mobilisasi.

Hasil utama
Mobilisasi yang sangat awal tidak meningkatkan bilangan orang yang terselamat atau membuat pemulihan yang baik selepas strok mereka. Terdapat cadangan bahawa mobilisasi yang sangat awal boleh mengurangkan durasi menginap di hospital dengan anggaran satu hari. Walau bagaimanapun, keputusan daripada ujian tunggal terbesar, dan daripada analisis ujian-ujian yang memulakan mobilisasi dengan sangat awal, membangkitkan kebimbangan bahawa memulakan mobilisasi intensif dalam jangkamasa 24 jam selepas strok mungkin meningkatkan beberapa risiko, sekurang-kurangnya bagi sesetengah orang dengan strok. Potensi risiko ini perlu diperjelaskan.

Kualiti bukti kajian
Keseluruhannya, dapatan-dapatan utama ini disokong oleh bukti keseluruhan yang sederhana, tetapi bukti berkualiti rendah menyokong tempoh durasi menginap di hospital dan aktiviti kehidupan seharian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information