Latar belakang
Gout adalah penyebab yang lazim bagi artritis keradangan (sakit, kemerahan, kepansan dan bengkak pada sendi yang terlibat) dan disebabkan pembentukan kristal-kristal urate sama ada di dalam ataupun di sekeliling sendi-sendi. Asid urik adalah bahan kumuhan yang biasanya dibuang bersama air kencing. Walaubagaimanapun, dalam kes gout, terdapat sama ada penghasilan asid urik yang berlebihan ataupun badan tidak mampu membuangnya dengan cukup pantas, atau kedua-duanya sekali. Serangan gout biasanya berlaku dengan cepat dan biasanya reda dalam tempoh 7 ke 10 hari.
Colchicine adalah sejenis ubat yang selalunya digunakan dalam rawatan gout semasa serangan akut atau untuk mencegah serangan semasa memulakan terapi pengurangan asid urik.
Ciri-ciri kajian
Ulasan Cochrane ini adalah yang terkini sehingga Ogos 2020. Kami menyertakan empat buah kajian (803 peserta rawak) dalam tinjauan yang dikemaskini ini, termasuklah dua kajian baharu. Satu kajian tiga lengan membandingkan colchicine dos tinggi (52 peserta), colchicine dos rendah (74 peserta) dan plasebo (ubat palsu) (59 peserta); satu percubaan membandingkan colchicine dos tinggi dengan plasebo (43 peserta); satu percubaan membandingkan colchicine dos rendah dengan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) (399 peserta); dan satu percubaan membandingkan colchicine dos rendah dengan bancuhan anti-gout Chuanhu (sebatian perubatan tradisional Cina) (176 peserta). Kami memilih perbandingan colchicine dos rendah dengan plasebo sebagai perbandingan utama; dos rendah selaras dengan dos yang digunakan dalam amalan perubatan. Kajian-kajian dilakukan di hospital dan pusat-pusat kajian yang pelbagai di empat buah negara, sebahagian besar peserta adalah lelaki, dan usia pertengahan antara 51.2 dan 70 tahun. Salah satu kajian telah mendapat dana dari sebuah syarikat farmaseutikal yang terlibat dalam reka bentuk kajian, pengumpulan data, analisis data, dan penulisan manuskrip.
Hasil-hasil utama kajian
Berbanding dengan ubat plasebo, colchicine dos rendah untuk pesakit gout akut sedikit sebanyak dapat memperbaik hasil rawatan dengan sedikit atau tanpa peningkatan risiko peristiwa sampingan buruk pada jangka waktu 32 hingga 36 jam.
Perkadaran para peserta yang melaporkan kejayaan rawatan (ditakrifkan sebagai pengurangan kesakitan sebanyak 50% atau lebih)
25% lebih ramai orang (7% lebih hingga 42% lebih ramai) melaporkan kejayaan, atau 25 atau lebih daripada 100
- 42 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan colchicine
- 17 daripada 100 orang melaporkan kejayaan rawatan dengan plasebo
Jumlah peristiwa sampingan buruk (cirit-birit, muntah atau loya)
6% lebih ramai orang melaporkan peristiwa sampingan buruk (13% lebih hingga 23% lebih ramai), atau 6 atau lebih daripada 100
- 26 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan colchicine
- 20 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan plasebo
Kesakitan, pengurangan keradangan, fungsi sendi sasaran, peristiwa sampingan buruk yang teruk atau penarikan akibat peristiwa sampingan buruk tidak dilaporkan bagi perbandingan ini.
Perbandingan-perbandingan lain dirumuskan secara ringkas di sini:
Colchicine dos tinggi dapat memperbaik gejala berbanding dengan plasebo, tetapi berkait dengan lebih banyak peristiwa sampingan buruk. Dos tinggi berkemungkinan mempunyai sedikit atau tiada langsung manfaat berbanding colchicine dos rendah, bagaimanapun berkait dengan lebih banyak peristiwa sampingan buruk. Mungkin juga ada sedikit atau tiada langsung manfaat colchicine dos rendah berbanding NSAID dari segi kejayaan rawatan dan pengurangan kesakitan, dengan jumlah peristiwa sampingan buruk yang lebih kurang sama.
Tidak terdapat kajian yang membandingkan colchicine dengan glukokortikoid.
Kualiti bukti
Kami menemui bukti berkualiti rendah bahawa colchicine dos rendah mungkin merupakan rawatan yang lebih berkesan untuk gout akut jika dibandingkan dengan plasebo dan bukti berkualiti rendah bahawa faedahnya mungkin serupa dengan NSAID. Kami menurunkan taraf bukti tersebut atas dasar bias dan ketidaktepatan. Walaupun kedua-dua colchicine dos tinggi dan rendah meningkatkan kejayaan rawatan jika dibandingkan dengan plasebo, colchicine dos tinggi (tetapi bukannya dos rendah) dapat meningkatkan jumlah peristiwa sampingan buruk berbanding dengan plasebo sementara jumlah peristiwa sampingan buruk mungkin serupa dalam perbandingan colchicine dos rendah dengan NSAID.
Penyelidikan lanjutan sangat berkemungkinan memberi impak yang penting dalam meningkatkan keyakinan kami terhadap anggaran kesan dan mampu mengubah anggaran tersebut.
Diterjemahkan oleh Abu Emmil Qawarizmi Bin Abu Sofian. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my