Vaksin untuk mencegah malaria dalam fasa pra-erythrocytic

Malaria adalah penyakit parasit yang disebarkan oleh nyamuk. Ia menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan merupakan punca utama penyakit dan kematian. Gejala malaria tanpa komplikasi termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, dan muntah; dan kanak-kanak biasanya juga mengalami pernafasan yang cepat, batuk, dan sawan. Malaria yang teruk membawa kepada pengsan dan kematian. Malaria tanpa komplikasi hampir selalu boleh disembuhkan dengan ubat yang sesuai, diberikan sejurus selepas gejala muncul, tetapi pada kanak-kanak kecil khususnya, keterukan dan kematian boleh datang dalam masa 48 jam. Harapan − disokong oleh penyelidikan berdekad-dekad yang semakin bertambah baik − kekal bahawa satu atau lebih vaksin untuk mencegah malaria akan menambah kepada alat kawalan malaria sedia ada. Jangkaan adalah bahawa vaksin yang berkesan akan mengurangkan kejadian malaria, tetapi kerana kerumitan organisma dan faktor lain, perlindungan tidak akan lengkap. Parasit malaria berkembang melalui beberapa fasa dalam tubuh manusia yang menimbulkan tindak balas imunologi yang berbeza, dan vaksin untuk semua fasa sedang dalam pembangunan. Ulasan ini melihat kepada vaksin yang disasarkan pada fasa 'pra-erythrocytic' dalam kehidupan parasit, iaitu fasa sebelum parasit mula-mula memasuki aliran darah dari hati. Kajian empat jenis vaksin terhadap P. falciparum, spesies malaria manusia yang paling penting, telah tersedia untuk ulasan ini. Salah satu daripada ini (vaksin RTS,S) mengurangkan dengan ketara bilangan episod malaria klinikal dan malaria teruk dalam kanak-kanak, manakala tiga vaksin lain adalah tidak berkesan di bawah syarat-syarat kajian. Tiada peristiwa buruk yang teruk diperhatikan selepas vaksinasi RTS,S dinilai berkaitan dengan vaksinasi, namun peristiwa buruk yang kecil seperti sakit kepala, bengkak, dan rasa lesu adalah berkaitan dengan vaksinasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information