Malaria adalah penyakit parasit yang disebarkan oleh nyamuk. Ia menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan merupakan punca utama penyakit dan kematian. Gejala malaria tanpa komplikasi termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, dan muntah; dan kanak-kanak biasanya juga mengalami pernafasan yang cepat, batuk, dan sawan. Malaria yang teruk membawa kepada pengsan dan kematian. Vaksin secara meluas dianggap sebagai komponen yang diperlukan untuk berjaya mengawal sepenuhnya malaria. Parasit bergerak melalui beberapa peringkat kitaran hidup dalam tubuh manusia, di mana struktur molekulnya berubah, sekurang-kurangnya sebahagiannya. Vaksin yang khusus untuk setiap peringkat (iaitu menyasarkan antigen yang berbeza) sedang dalam pembangunan. Ulasan ini melihat kepada vaksinasi yang disasarkan pada fasa aseksual (darah) kehidupan parasit, apabila parasit berada dalam sel darah merah. Satu vaksin untuk fasa ini, MSP/RESA (juga dikenali sebagai Gabungan B), telah diuji dalam kajian lapangan di Papua New Guinea. Ia mengurangkan ketumpatan parasit dalam darah, tetapi ia tidak menghalang serangan malaria. Vaksin peringkat darah sedang giat dijalankan dalam penyelidikan lanjutan.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my