Penilaian geriatrik komprehensif untuk warga emas yang dimasukkan ke hospital

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini ialah untuk mengetahui jika penjagaan pakar yang teratur dan diselaraskan (yang dikenali sebagai penilaian geriatrik komprehensif, atau CGA) dapat memperbaik penjagaan yang diberi kepada warga emas yang dimasukkan ke hospital. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab persoalan ini dan menyertakan 29 kajian dalam ulasan ini.

Mesej utama

Memberi akses kepada warga emas yang dimasukkan ke hospital untuk memperoleh perkhidmatan penilaian geriatrik koordinasi pakar (CGA) perkhidmatan semasa kemasukan ke hospital meningkatkan kebarangkalian mereka mampu hidup di rumah mereka secara berdikari semasa temujanji susulan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Warga emas yang dimasukkan ke hospitall mungkin menghadapi pelbagai masalah yang kompleks dan bertindih. Mereka lebih cenderung hilang kebebasan berdikari semasa penyakit akut, yang membawa potensi kemasukan ke rumah jagaan. Sesetengah kemerosotan ini mungkin dapat dielak jika keperluan penjagaan dikenal pasti dengan sewajarnya dan jika rawatan diselaras dan diurus. Penjagaan pakar yang diselaras (dikenali sebagai penilaian geriatrik komprehensif, atau CGA) dibangunkan untuk menangani keperluan perubatan, sosial, kesihatan mental, dan fizikal menerusi bantuan pasukan multidisiplin yang mahir. Tujuannya adalah untuk memaksimumkan pemulihan dan mengembalikan pesakit ke tahap fungsi sebelumnya apabila mungkin. Di hospital, CGA dilaksanakan di wad geriatrik, atau di wad am yang dikunjungi oleh pasukan pakar perubatan geriatrik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mengenal pasti 29 kajian yang relevan dari sembilan negara yang merekrut 13,766 orang. Kajian-kajian ini membandingkan CGA dengan rawatan penjagaan rutin bagi pesakit yang berusia lebih 65 tahun yang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan kajian menilai CGA yang disediakan di wad khusus hospital atau di beberapa wad oleh satu pasukan bergerak. Ulasan menunjukkan warga emas yang menerima CGA berbanding rawatan perubatan rutin selepas kemasukan ke hospital lebih cenderung tinggal di rumah dan kurang cenderung memerlukan penjagaan di pusat penjagaan sehingga satu tahun selepas kemasukan ke hospital.

Kami tidak menemui bukti CGA mengurangkan risiko kematian semasa susulan sehingga setahun selepas kemasukan, dan kami dapati CGA memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kebergantungan (sama ada pesakit memerlukan bantuan untuk aktiviti harian seperti makan dan berjalan).

Kami temui terlampau banyak variasi fungsi kognitif dan tempoh inap di hospital untuk rumuskan suatu kesimpulan. Ketidakpastian tentang analisis kos-efektif mencadangkan penyelidikan lanjut diperlukan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 5 Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information