Penapis vena cava untuk pencegahan embolisme paru-paru

Latar belakang

Gumpalan darah dalam paru-paru dipanggil embolus paru-paru. Ia biasanya berasal dalam vena kaki atau pelvis, yang mana ia boleh berpecah dan bergerak ke paru-paru melalui vena cava inferior (IVC, vena besar yang membawa darah dari bahagian bawah badan ke jantung). Embolus lebih lanjut biasanya dicegah dengan ubat penipisan darah (antikoagulan). Dalam beberapa keadaan (kira-kira 4% kes), antikoagulan gagal, atau terlalu berbahaya untuk memberi antikoagulan.

Penapis vena cava adalah alat aloi logam dimasukkan ke dalam IVC untuk memerangkap gumpalan darah. Penapis moden ‘boleh diambil semula’, membolehkan pengeluarannya apabila ia tidak lagi diperlukan. Walau bagaimanapun, sejumlah penapis yang boleh diambil semula tidak dikeluarkan. Profil keselamatan jangka panjang alat-alat ini adalah tidak diketahui. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan penapis vena cava. Penulis ulasan mencari kajian yang membandingkan penapis dengan tiada penapis, dan kajian yang membandingkan reka bentuk penapis yang berbeza.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami menyertakan enam kajian dengan sejumlah 1388 peserta dalam ulasan ini (terkini sehingga 10 September 2019). Terdapat terlalu banyak perbezaan di antara kajian-kajian ini maka kami tidak dapat menggabungkan keputusannya.

Dua kajian boleh diaplikasikan dalam keadaan klinikal semasa. Satu kajian menunjukkan terdapat tiada manfaat yang jelas dalam menerima penapis yang boleh diambil semula untuk tiga bulan pertama selepas PE akut, untuk mereka yang boleh menerima antikoagulan, dari segi embolisme paru-paru (PE) berulang, trombosis vena dalam (DVT), kematian atau pendarahan. Tidak semua penapis boleh dikeluarkan. Hanya komplikasi kecil dari penapis dicatat pada enam bulan.

Kajian lain dalam orang yang mengalami beberapa kecederaan traumatik tidak menunjukkan sebarang manfaat memasukkan penapis tiga hari selepas kecederaan untuk mencegah PE, atau mengurangkan kematian. Antikoagulan pencegahan dan alat pemampatan betis diberikan kepada peserta jika boleh.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan dari empat kajian selebihnya yang disertakan. Ini kerana tiga kajian tidak lagi relevan secara klinikal kerana mereka menggunakan penapis kekal yang kini jarang digunakan, atau mereka tidak menggunakan antikoagulan pencegahan rutin yang merupakan amalan piawai semasa. Satu kajian menunjukkan peningkatan kadar DVT di bahagian kaki dalam kumpulan penapis kekal. Kajian keempat membandingkan dua jenis penapis dan dihentikan lebih awal dan oleh itu tidak menghasilkan data yang mencukupi.

Kebolehpercayaan bukti

Dua kajian adalah relevan dalam konteks klinikal semasa. Bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua kajian ini adalah berkepastian sederhana. Kami mencapai penilaian ini kerana kami tidak dapat menggabungkan data dari kajian-kajian ini, dan kerana bilangan kecil peserta dan peristiwa yang terlibat. Kajian-kajian itu berbeza dalam jenis peserta dan situasi klinikal. Terdapat keperluan lebih lanjut untuk kajian-kajian yang menilai keberkesanan penapis cava dalam orang yang tidak boleh menerima antikoagulan, atau apabila PE berlaku walaupun antikoagulan mencukupi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information