Apakah cara terbaik untuk mengelakkan kenaikan berat badan setelah berhenti merokok?
Mesej utama
Kami tidak pasti program atau rawatan mana yang paling sesuai untuk membantu orang mengelakkan kenaikan berat badan dalam jangka masa panjang (sehingga 12 bulan) selepas berhenti merokok, atau bagaimana ia mempengaruhi kejayaan berhenti merokok. Ini adalah kerana bukti menunjukkan kesan yang berbeza dan tidak jelas terhadap kenaikan berat badan. Kajian lebih lanjut harus terus melihat bagaimana membatasi kenaikan berat badan pada orang yang berhenti merokok. Kajian masa depan mengenai ubat-ubatan baru yang membantu orang berhenti merokok juga harus mengukur perubahan berat badan mereka.
Berhenti merokok dan kenaikan berat badan
Sekiranya anda merokok, perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk kesihatan anda adalah berhenti merokok. Tetapi orang sering menambah berat badan apabila berhenti merokok, biasanya pada beberapa bulan pertama berhenti merokok. Penambahan berat badan boleh merendahkan beberapa manfaat berhenti merokok, dan mungkin mempengaruhi motivasi sebahagian orang yang berusaha untuk berhenti merokok.
Apa yang kami ingin ketahui?
Beberapa program untuk membantu orang berhenti merokok secara khusus mensasarkan kawalan berat badan. Cara lain untuk membantu orang berhenti merokok juga boleh mempengaruhi berat badan mereka; ini termasuk: program senaman, mengambil ubat-ubatan, dan menggunakan terapi penggantian nikotin (nicotine replacement therapy, NRT).
Kami ingin mencari cara terbaik untuk menghentikan kenaikan berat badan apabila berhenti merokok.
Apakah yang kami lakukan?
Dalam kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelum ini, kami mencari kajian yang menguji:
- program khusus untuk mengawal berat badan apabila berhenti merokok;
- cara lain untuk membantu orang berhenti merokok, jika kajian tersebut juga mengukur perubahan berat badan.
Kami berminat dengan:
- berapa orang berhenti merokok untuk enam bulan atau 12 bulan;
- berat badan orang pada akhir rawatan, kemudian setelah enam bulan dan 12 bulan.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui sejumlah 116 kajian:
37 kajian program khusus untuk mengawal berat badan bagi orang berhenti merokok (21 kajian baru untuk kemas kini ini); serta 83 kajian cara lain untuk membantu orang berhenti merokok (27 kajian baru untuk kemas kini ini). Empat daripada kajian ini menyumbang kepada kedua-duanya.
37 kajian program khusus menguji program tingkah laku, termasuk berdiet, untuk mengurus berat badan pada 11,514 orang yang cuba berhenti merokok. Beberapa program tingkah laku adalah berdasarkan penerimaan, di mana orang juga mempelajari kemahiran mengawal diri (misalnya, bagaimana menangani keinginan) untuk membantu mereka mengekalkan tingkah laku yang diperlukan untuk menurunkan berat badan. Sebilangan besar kajian (27) dilakukan di AS dan yang lain dilakukan di Australia, Kanada, China dan Eropah.
83 kajian mengenai cara lain untuk berhenti merokok memasukkan 46,248 orang dan melihat kepada:
program senaman; mengambil NRT; mengambil ubat yang disebut varenicline (digunakan untuk membantu orang berhenti merokok); atau mengambil ubat dipanggil fluoxetine (untuk merawat kemurungan).
Dari kajian-kajian ini, 39 kajian dilakukan di AS dan selebihnya dilakukan di negara lain di seluruh dunia. Sangat sedikit kajian yang melaporkan kesan sampingan.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Program yang bertujuan untuk mengehadkan kenaikan berat badan
Berbanding dengan tanpa program atau dengan nasihat ringkas sahaja, program pengurusan berat badan yang diperibadikan dapat mengurangkan kenaikan berat badan pada akhir rawatan, setelah enam bulan dan 12 bulan. Walau bagaimanapun, program pengurusan berat badan tanpa penilaian, perancangan dan maklum balas yang diperibadikan mungkin tidak mengurangkan kenaikan berat badan, dan mungkin mengurangkan jumlah orang yang berhenti merokok.
Berbanding dengan tanpa program, program berdasarkan penerimaan untuk berat badan:
mungkin membantu lebih ramai orang berhenti merokok selepas enam bulan dan 12 bulan; tetapi mungkin menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kenaikan berat badan mereka .
Program dan rawatan lain yang mungkin mempengaruhi berat badan
Mengambil bahagian dalam program senaman untuk membantu berhenti merokok dapat mengurangkan kenaikan berat badan setelah 12 bulan, berbanding dengan tidak mengambil bahagian dalam program.
Menggunakan NRT mungkin mengurangkan kenaikan berat badan sedikit setelah 12 bulan, berbanding dengan tidak menggunakan NRT.
Mengambil varenicline menyebabkan sedikit perbezaan pada kenaikan berat badan pada akhir rawatan, dan mungkin menyebabkan sedikit perbezaan selepas enam bulan atau setelah 12 bulan.
Pengambilan fluoxetine mungkin mengurangkan kenaikan berat badan pada akhir rawatan, tetapi kami tidak tahu bagaimana ia mempengaruhi kenaikan berat badan setelah enam bulan atau 12 bulan.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin bahawa tidak ada perbezaan pada kenaikan berat badan pada akhir rawatan dengan varenicline, dan kajian lebih lanjut mungkin tidak mengubah keputusan ini. Namun, keyakinan kami terhadap semua bukti lain adalah terhad, kebanyakannya kerana jumlah kajian yang sedikit untuk dibandingkan, dan sedikit orang yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut. Keputusannya sangat bervariasi, serta tidak ada kajian yang cukup untuk kami pasti akan keputusannya. Keyakinan kami mungkin berubah jika bukti lanjut tersedia.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2020.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.