Karsinosarkoma ovari (tumor Mullerian bercampur malignan) adalah tumor ginekologi malignan yang jarang berlaku yang merangkumi sekitar 1% atau kurang dari semua kanser ovari. Tumor ini mengandungi kedua-dua karsinomatous (timbul dari tisu epitelium, tisu yang melapisi rongga dan permukaan struktur di seluruh badan) dan tisu sarkoma (timbul dari tisu-tisu penghubung) di dalamnya. Tumor ini biasanya muncul pada tahap lanjut dan mempunyai tahap kelangsungan hidup yang rendah walaupun mendapat rawatan. Ia biasanya dirawat dengan kombinasi pembedahan dan kemoterapi, juga kadang kala dengan radioterapi. Pelbagai jenis ubat kemoterapi digunakan untuk merawat wanita sebelum dan selepas pembedahan (neoadjuvant dan adjuvant).
Pada masa ini, tidak ada bukti yang boleh menentukan sama ada semua bentuk kemoterapi atau radioterapi, atau kedua-duanya, dalam kombinasi dengan pembedahan adalah lebih baik atau buruk untuk memanjangkan kelangsungan hidup dan meningkatkan kualiti hidup atau keracunannya. Tinjauan ini menekankan keperluan kajian berkualiti tinggi yang membandingkan pelbagai rejimen kemoterapi, baik sebelum dan selepas pembedahan, dengan atau tanpa radioterapi. Multisentre, multinasional dan kolaboratif kajian yang berkualiti tinggi diperlukan untuk menyiasat penyakit yang jarang berlaku ini.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.