Perencat-enzim-penukaran angiotensin dan penyekat reseptor angiotensin untuk mencegah progresi penyakit diabetis buah pinggang

Mesej utama

- Perencat-enzim-penukaran angiotensin (ACEi) dan penyekat reseptor angiotensin (ARB) boleh mengurangkan kegagalan buah pinggang dalam kalangan orang dengan diabetis dan penyakit buah pinggang.

- Kami tidak pasti sama ada ACEi, ARB atau pelbagai kombinasi atau dos-dos mencegah kematian atau penyakit jantung dalam kalangan orang dengan diabetis dan penyakit buah pinggang.

Mengapa merawat orang dengan diabetis yang ada penyakit buah pinggang kronik?

Penyakit buah pinggang dialami oleh kira-kira satu perempat hingga separuh orang yang menghidap diabetis, biasanya 20 hingga 25 tahun selepas diabetis bermula. Kira-kira satu pertiga mereka yang menghidap diabetes dengan penyakit buah pinggang akan progres kepada kegagalan buah pinggang dan perlu rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Rawatan yang menurunkan tekanan darah mencegah penyakit jantung dan membolehkan pesakit mengelak atau menangguh dialisis atau pemindahan buah pinggang. Dua kelas ubat - ACEi dan ARB - dianggap sangat berkesan dalam memperbaik kesihatan dan kesejahteraan orang dengan diabetes. Kami menilai sama ada ubat-ubatan ini mencegah kegagalan buah pinggang, kematian dan komplikasi jantung dalam kalangan orang yang menghidap diabetes dan penyakit buah pinggang.

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin tahu sama ada ACEi, ARB atau gabungan rawatan mencegah progresi penyakit buah pinggang dalam kalangan dewasa dengan diabetes dan penyakit buah pinggang.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian-kajian yang menilai secara rawak manfaat dan bahaya ACEi, ARB, atau pelbagai kombinasi untuk orang dengan diabetis dan penyakit buah pinggang kronik. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 109 kajian yang melibatkan 28,341 dewasa. ACEi dan ARB boleh mencegah kegagalan buah pinggang dalam kalangan orang dengan diabetis dan penyakit buah pinggang. ACEi, ARB, atau pelbagai kombinasi mempunyai kesan yang tidak pasti terhadap kematian atau penyakit jantung dalam kalangan orang dengan diabetis dan penyakit buah pinggang.

Apakah batasan bukti?

Bilangan kajian yang kecil bagi setiap perbandingan dan saiz kecil kajian adalah batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami ingini. Kami tidak pasti tentang keputusan-keputusannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information