Mesej utama
Hisapan tidak berkhasiat (objek, seperti puting, diletakkan di dalam mulut bayi untuk merangsang tingkah laku menghisap), bedung berbantu (membedung bayi menggunakan tangan penjaga di kepala dan kaki untuk mengekalkan posisi 'folded-in'), dan bedung (membalut bayi dengan ketat dalam selimut untuk mengelakkan pergerakan badan yang berlebihan) adalah antara strategi paling berpotensi yang boleh mengurangkan rasa sakit pada bayi pramatang. Hisapan tidak berkhasiat boleh mengurangkan tingkah laku sakit dalam kalangan bayi yang lahir cukup bulan. Tiada strategi menganalisis tingkah laku sakit yang berkurangan pada bayi yang lebih tua dengan bukti yang mencukupi. Penglibatan ibu bapa yang berstruktur (ibu bapa diarahkan menggunakan strategi, seperti ‘shushing’, mengendong, menggeletek, atau mengalihkan perhatian, tanpa diberi sebarang bahan untuk membantu mereka) sememangnya mempunyai asas bukti yang lebih kukuh tetapi tidak mempunyai kesan dalam mengurangkan tingkah laku sakit.
Pengenalan kepada topik ulasan
Bayi dan kanak-kanak kecil terdedah kepada beberapa prosedur perubatan akut (prosedur yang mengambil masa yang singkat) yang menyakitkan dalam tiga tahun pertama kehidupan. Menerima prosedur yang menyakitkan ini tanpa strategi pengurusan kesakitan yang mencukupi boleh memberi impak negatif terhadap perkembangan mereka.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami mengkaji beberapa strategi pengurusan kesakitan (tidak termasuk penjagaan kanggaru, sukrosa, penyusuan/susu ibu, dan muzik kerana ulasan sedia ada tentang strategi ini) selepas prosedur perubatan akut dalam bayi pramatang, bayi cukup bulan, dan bayi cukup bulan berusia sehingga tiga tahun, untuk memahami keberkesanan strategi ini dalam mengurangkan kesakitan.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami menilai 24 strategi berbeza dalam mengurangkan kesakitan kanak-kanak kecil selepas prosedur perubatan menggunakan strategi penjagaan yang tidak memerlukan ubat, seperti menggunakan puting, membedung, dan mengurut kanak-kanak. Kami membandingkan keberkesanan strategi ini mengurangkan kesakitan dengan kumpulan yang tidak menerima strategi pengurusan kesakitan. Apabila boleh, kami juga membandingkan kumpulan yang menerima satu strategi dengan yang menerima pelbagai strategi untuk melihat sama ada pelbagai strategi membawa kepada pengurangan kesakitan yang lebih banyak. Kami melihat sama ada terdapat perbezaan dalam kesan intervensi bergantung kepada sama ada bayi baru sahaja menjalani prosedur yang menyakitkan (fasa kereaktifan kesakitan), berbanding dengan menenangkan bayi dari puncak kesakitan (fasa pengawalan kesakitan segera).
Kami menukar ukuran intensiti kesakitan yang berbeza (dikodkan oleh jururawat terlatih atau kakitangan penyelidikan) kepada skala standard untuk membantu pembaca mentafsir penemuan. Skala standard berjulat dari 0 hingga 21, dengan 0 tiada kesakitan dan 21 adalah kesakitan yang sangat teruk.
Apa yang kami dapati?
Ulasan Cochrane yang dikemas kini ini memasukkan 138 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melibatkan 11,058 peserta menjalani prosedur perubatan akut yang menyakitkan. Hisapan tidak berkhasiat, membedung, bedung berbantu, dan penglibatan ibu bapa berstruktur adalah empat strategi yang paling banyak dikaji.
Dalam bayi pramatang, terdapat bukti bahawa hisapan tidak berkhasiat, bedung berbantu, dan membedung boleh mengurangkan rasa sakit. Pada skala standard, bayi pramatang yang menerima hisapan tidak berkhasiat mungkin, secara purata, skor dua mata lebih rendah daripada bayi pramatang yang tidak menerima strategi sebaik selepas prosedur yang menyakitkan dan apabila bertenang dari puncak kesakitan. Bayi pramatang yang menerima bedung berbantu boleh, secara purata, skor 3.5 mata lebih rendah sebaik sahaja prosedur yang menyakitkan dijalankan dan dua mata lebih rendah apabila bertenang dari puncak kesakitan berbanding dengan bayi pramatang yang tidak menerima strategi pengurusan kesakitan. Walaupun membedung tidak mengurangkan skor kesakitan sejurus selepas prosedur yang menyakitkan, bayi pramatang yang dibedung boleh mendapat skor, secara purata, empat mata lebih rendah daripada bayi baru lahir yang tidak menerima strategi apabila bertenang dari kesakitan.
Dalam bayi baru lahir yang cukup bulan, hisap tidak berkhasiat boleh mengurangkan kesakitan. Pada skala standard, bayi cukup bulan yang menerima hisapan tidak berkhasiat boleh, secara purata, mendapat empat mata lebih rendah selepas prosedur yang menyakitkan dan lima mata lebih rendah apabila bertenang dar puncak kesakitan berbanding bayi baru lahir yang tidak menerima strategi pengurusan kesakitan.
Penglibatan ibu bapa berstruktur adalah strategi yang paling banyak dikaji dalam bayi cukup bulan yang lebih tua, tetapi bukti menunjukkan bahawa strategi ini mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pengurangan kesakitan dalam kumpulan umur ini.
Kesan sampingan sangat jarang berlaku merentasi strategi ini. Selepas hisapan tidak berkhasiat, seorang bayi pramatang muntah dan seorang bayi cukup bulan mengalami tahap oksigen yang rendah. Tiada kesan buruk berlaku selepas membedung, bedung berbantu, atau penglibatan ibu bapa secara berstruktur.
Apakah had bukti ini?
Keputusan ulasan ini adalah berdasarkan bukti yang sangat tidak pasti. Banyak kajian yang dijalankan terlalu kecil atau tidak ada kajian yang mencukupi mengenai intervensi tertentu demi menghasilkan keputusan yang memuaskan untuk hasil kami. Terdapat juga ketidakkonsistenan merentasi kajian kerana pemberian intervensi bukan farmakologi berbeza secara meluas merentasi kajian dalam tetapan yang berbeza. Banyak kajian juga menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan ralat dalam keputusan mereka. Secara keseluruhan, tiada analisis yang dibentangkan di sini adalah berdasarkan bukti yang mencukupi untuk membolehkan kami membuat kesimpulan yang kukuh (iaitu kajian berkepastian tinggi daripada sekurang-kurangnya dua kumpulan penyelidikan bebas).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini berdasarkan bukti sehingga Oktober 2020. Carian untuk kajian telah dikemas kini sehingga Julai 2022 dan 33 kajian yang layak sedang menunggu penilaian dan akan dimasukkan ke dalam ulasan ini yang akan dikemaskini.
Diterjemah oleh Nuryn Nadia Noor Azuan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my