Penyejukan setempat untuk menghilangkan rasa sakit daripada trauma perineal yang dialami semasa bersalin

Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal mengenai keberkesanan rawatan penyejukan setempat untuk mengurang kesakitan akibat trauma pada kawasan antara faraj dan dubur, iaitu 'trauma perineal', ketika bersalin.

Apakah isunya?

Koyakan perineal adalah biasa semasa melahirkan anak. Di samping itu, kadang-kala pembantu bersalin memotong perineum untuk memberi ruang tambahan kepada bayi yang akan dilahirkan (episiotomi).

Koyakan dan luka ini sering menyebabkan kesakitan dan ibu mungkin sukar berjalan atau duduk dengan selesa, atau memberi makan dan menjaga bayinya,

Kenapa ini penting?

Rasa sakit akibat koyakan atau luka perineum dapat menurunkan kemampuan wanita untuk bergerak dan menyebabkan rasa tidak selesa ketika membuang air kecil atau air besar. Ini boleh mempengaruhi kesejahteraan emosinya. Kesakitan perineum yang berterusan boleh memberi kesan jangka panjang, seperti kesakitan semasa hubungan seks dan masalah dengan pergerakan usus dan buang air kecil. Wanita digalakkan menggunakan pelbagai cara untuk menghilangkan rasa sakit, termasuk penggunaan rawatan penyejukan seperti pek ais atau pelindung gel sejuk. Amat penting untuk mengetahui sama ada penyejukan memepunyai peranan dan adakah ia dapat memperlahankan penyembuhan luka atau koyakan perineal.

Ulasan ini adalah kemaskini daripada ulasan pertama yang diterbitkan pada tahun 2007, dan dikemas kini pada tahun 2012.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mengemas kini carian untuk bukti pada Oktober 2019. Kami menjumpai 10 kajian rawak terkawal. Sembilan daripada kajian ini mempunyai maklumat daripada 998 wanita yang dapat kami gunakan dalam ulasan.

Pek ais atau pelindung gel sejuk diletakkan di perineum selama 10 hingga 20 minit pada satu masa dalam dua hari pertama selepas bersalin. Mereka dibandingkan dengan yang tidak ada rawatan (5 kajian, 612 wanita) atau rawatan plasebo dengan pad gel (1 kajian) atau beg air (1 kajian), kedua-duanya pada suhu bilik. Pek ais dibandingkan dengan pad gel sejuk dalam tiga kajian (338 wanita).

Sebilangan besar kajian adalah berkualiti rendah kerana kebimbangan atan kebenaran penemuan itu, dengan sebilangan kecil wanita untuk setiap perbandingan, variasi besar kesan rawatan, dan wanita mengetahui rawatan (atau jika tidak ada rawatan) yang mereka gunakan. Beberapa kajian melihat perbandingan atau kajian yang sama menggunakan alat penilaian atau hasil yang berbeza. Sebilangan besar penemuan berasal dari kajian tunggal.

Kesakitan perineum yang dinilai sendiri oleh wanita berikutan penggunaan pad sejuk dalam masa enam jam selepas bersalin mungkin kurang berbanding wanita yang tidak mendapat rawatan (1 kajian, 100 wanita). Tiada perbezaan yang jelas dalam kesakitan yang dilaporkan sendiri dalam 24 jam atau hingga 48 jam setelah bersalin (1 kajian, 316 wanita) atau dalam penyembuhan perineum.

Pad gel sejuk dengan mampatan berbanding plasebo boleh menyebabkan pengurangan kesakitan yang sangat kecil 24 hingga 48 jam setelah bersalin (1 kajian, 250 wanita). Penyembuhan luka perineum mungkin tidak terjejas akibat penyejukan. Tiada wanita yang menggunakan pek ais atau pek air dalam suhu bilik melaporkan kesakitan pada 24 jam pertama setelah bersalin (1 kajian, 63 wanita). Tidak ada kesan buruk terhadap penyembuhan luka dilaporkan.

Perbandingan pek ais dan pad gel sejuk, mungkin tidak menunjukkan perbezaan kesakitan perineal yang dinilai sendiri pada mana-mana masa pengukuran (3 kajian, 338 wanita). Satu kajian melaporkan bahawa bilangan wanita yang menggunakan pek ais kurang mengalami birai luka yang ternganga pada hari ke lima tetapi tidak pada hari ke-10 (215 wanita). Dalam satu kajian, penilaian wanita mengenai rawatan dengan pek ais adalah kurang baik berbanding pad gel sejuk lima hari selepas bersalin (49 wanita) dan ketika dinilai pada hari ke-10 (208 wanita).

Apakah maksudnya?

Hanya terdapat sebilangan kecil bukti berkualiti rendah atau sangat rendah dari kajian kecil yang menunjukkan bahawa rawatan penyejukan dapat membantu melegakan kesakitan perineal setelah bersalin. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk melihat jika penyejukan dapat mempengaruhi penyembuhan koyakan atau luka. Ais mudah didapati di negara berpendapatan tinggi tetapi mungkin tidak di negara berpendapatan rendah. Gel yang perlu diletakkan di dalam peti sejuk untuk penyejukan juga mungkin tidak didapati di kawasan berpendapatan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information